NADZIM JOHAN
NADZIM JOHAN

Perkara itu diakui sendiri oleh Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan yang menegaskan penguasaan itu bukan sahaja ‘mematikan’ penglibatan bumiputera tetapi membebankan pengguna pada akhirnya.

Hal itu kerana, kata Nadzim, disebabkan kewujudan kumpulan kartel berkenaan harga daging import yang dijual di pasaran adalah jauh lebih tinggi.

“Saya difahamkan harga daging diimport ke Malaysia jauh lebih mahal berbanding dengan China. Kita import RM500 lebih mahal untuk satu tan daging.

“Jadi, apabila daging dibawa masuk mahal, maka harga dijual kepada pengguna sudah tentu berkali-kali lebih mahal. Ini kesan kewujudan kumpulan kartel dan perbuatan ini telah lama berlaku,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman pada Isnin lalu mengakui wujud penguasaan atau kartel oleh pihak tertentu terhadap aktiviti import daging sehingga menganaktirikan penglibatan kaum bumiputera.

Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia sebelum ini juga pernah membangkitkan persoalan mengenai dakwaan wujudnya kartel dalam industri pengimportan ternakan menyebabkan banyak pihak khususnya pemain baharu mengeluh kerana tidak mendapat peluang sepatutnya biar­pun memiliki merit.

Mengulas lanjut, Nadzim berkata, perkara itu berlaku ke­rana wujudnya rangkaian kumpulan kartel berkenaan dengan agensi-agensi tertentu sehingga memudahkan aktiviti mereka.

Disebabkan itu, beliau memin­ta supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masuk campur memandangkan penguasaan kartel dengan segala bentuk rangkaian yang mereka ada hanya akan menjejaskan penglibatan bumiputera serta menyusahkan pengguna.