Karnival yang julung kali di­adakan itu menampilkan pelbagai acara menarik seperti jualan produk dan perkhidmatan daripada usahawan Orang Asli, persembahan tradisional masya­rakat Orang Asli, demo me­ngukir, menganyam, masakan dan me­nyumpit, bual bicara mengenai pencapaian dan kejayaan masyarakat Orang Asli dan persembahan kugiran Orang Asli.

Bagaimanapun, persembahan kebudayaan nyata menarik minat ramai pengunjung, lebih-lebih lagi setiap suku kaum Orang Asli mempunyai budaya dan bahasa­nya sendiri. Suku kaum yang terdapat di Malaysia adalah Kensiu, Kintaq, Jahai, Mendriq, Bateq, Lanoh, Temiar, Semai, Jah Hut, Che Wong, Semoq Beri, Mah Meri, Temuan, Jakun, Semelai, Orang Kuala, Orang Seletar dan Orang Kanaq.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, karnival itu adalah kesinambungan daripada karnival keusahawanan yang pernah dianjurkan JAKOA sebelum itu, cuma KOA 2017 lebih menyeluruh termasuk mengetengahkan kehidupan masyarakat Orang Asli daripada segi kebudayaan dan kejayaan yang berjaya diraih oleh kaum tersebut.

“Karnival ini adalah inisiatif Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahukan keunikan dan kepelbagaian suku kaum Orang Asli ditonjolkan kepada umum dengan mengabungkan elemen kebudayaan, keusahawanan dan kejayaan yang dicapai masyarakat Orang Asli.

“Ramai yang tidak tahu me­ngenai budaya masyarakat Orang Asli ini, malah Orang Asli sendiri pun tidak begitu mengenali budaya suku kaum lain. Oleh itu, dianjurkan karnival seperti ini supaya orang ramai berpeluang untuk lebih mengenali masyarakat Orang Asli,” katanya ketika merasmikan Karnival Orang Asli 2017 di PWTC, semalam.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Borhan Dolah dan Ketua Pengarah JAKOA Mohd Jamalludin Kasbi.

Ismail Sabri berkata, di Malaysia terdapat ki­ra-kira 200,000 masyarakat Orang Asli dengan 18 suku kaum berbeza yang masing-masing mempunyai budaya dan kepercayaan sendiri.

Dalam pada itu katanya, Karnival Orang Asli 2017 yang bertemakan “Orang Asli Sejahtera - Pemerkasaan Ilmu, Ekonomi dan Budaya” itu juga menjadi platform untuk mengetengahkan produk-produk yang dihasilkan oleh usahawan Orang Asli terutama hasil kraf selain produk berasaskan madu dan makanan, herba, per­khidmatan serta pelancongan.

Katanya, setakat ini, terdapat 534 usahawan Orang Asli telah berjaya dibentuk dan melalui Rancangan Malaysia ke-11, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM20 juta melalui JAKOA untuk melahirkan 600 lagi usahawan berjaya dalam kalangan Orang Asli.

“Tumpuan diberikan dalam bidang keusahawanan ini kerana didapati banyak produk yang sesuai dihasilkan oleh masyarakat Orang Asli seperti madu kelulut, produk berasaskan kayu dan herba.

“Kini cabang perniagaan diperluaskan lagi dengan menceburi bidang pelancongan melalui penubuhan homestay kerana masyarakat terutama dari luar negara pasti berminat untuk melihat lebih dekat kehidupan dan perkampungan Orang Asli yang berbeza daripada kehidupan mereka,” katanya.

Jelasnya, setakat ini terdapat beberapa homestay telah berjaya ditubuhkan seperti di Kampung Redip, Pos Hau di Gua Musang, Kelantan dan Kampung Orang Asli Ulu Chembong, Rembau, Negeri Sembilan.

Sementara itu, seorang usahawan Orang Asli, Nur Raziana Ramli berkata, karnival seumpama itu sememangnya banyak membantu usahawan Orang Asli terutama mereka yang baru melangkah dalam dunia keusahawanan.

“Melalui karnival ini, masyarakat luar akan nampak produk-produk yang dihasilkan oleh Orang Asli dan seterusnya mengangkat produk tersebut sehingga dikenali ramai tidak hanya di Malaysia, tetapi juga di peringkat antarabangsa.

“Malah, titik permulaan perniagaan saya adalah ketika Karnival Usahawan Orang Asli yang diadakan di Kuantan dan sejak itu perlahan-lahan saya mengembangkan perniagaan hingga mampu mempunyai 10 produk berasaskan propolis dan madu,” kata pemilik syarikat Trigona Asli yang mengusahakan perniagaan penternakan lebah kelulut dan menjual madu asli serta produk berasaskan madu kelulut.

Seorang lagi usahawan yang juga Ikon Belia Orang Asli 2017, Helmi Naim Ahmad berkata, KOA adalah satu platform yang boleh digunakan oleh masyarakat Orang Asli untuk memulakan perniagaan kerana banyak produk telah berjaya diketengahkan kepada umum sekali gus membantu mereka dalam urusan pemasaran.

Bagaimanapun katanya, usahawan Orang Asli tetap perlu bersaing dengan masyarakat luar sebagai langkah untuk memajukan lagi perniagaan mereka di masa hadapan.

“Saya ingin melihat perubahan pada masyarakat Orang Asli dan apa yang lebih penting, kami perlu mempunyai pelapis terutama dalam pembuatan barangan kraftangan Orang Asli agar warisan ini tidak pupus di telan zaman,” kata pemilik Temuan Abo Craft yang menghasilkan seni kraftangan Orang Asli suku kaum Temuan.