Karnival berkenaan merupakan siri prebiu bagi himpunan usahawan wanita terbesar negara yang bakal diadakan pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA 2018) November ini.

Timbalan Kedua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Sallehuddin Hassan berkata, sesuai dengan temanya, Segalanya Wanita karnival selama tiga hari ini menghimpun 500 orang peniaga kalangan wanita.

“Ia kini menjelajah ke zon Timur di Pantai Kuala Kerteh di sini selepas mendapat sambutan menggalakkan pada dua edisi sebelumnya iaitu di Lundu, Sarawak dan Teluk Intan, Perak.

“Sambutan yang diterima pada hari pertama karnival ini amat menggalakkan dan kita sasarkan menarik kehadiran 30,000 pe­ngunjung,” katanya kepada pemberita di tapak karnival.

Karnival itu terbahagi kepada lapan kluster iaitu Kesihatan, Pelancongan, Produk Industri Asas Tani, Kulinari, Perkemba­ngan Awal Kanak-Kanak, Florikultur dan Segar.

Perasmian karnival disempurnakan oleh Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas Wanita Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Majlis perasmian Karnival Usahawanita 2018 pula dijadualkan disempurnakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim esok.

Mohd. Sallehuddin berkata, kesemua produk pertanian dan industri asas tani yang dijual di Kluster Segar yang dijual pada harga antara lima hingga 20 peratus lebih murah daripada pasaran.

Tambah beliau, paling menarik, gerai jualan di kluster ber­kenaan juga menawarkan 25,000 biji kobis bulat yang dijual pada harga RM2 sebiji.

“Setiap biji kobis bulat yang dijual seberat lebih dua kilogram (kg). Ia bermakna sekilo kobis berkenaan cuma berharga kira-kira RM1 sahaja dan 50 peratus lebih murah dari nilai pasaran.

“Selain itu, pengunjung juga boleh mendapati lobak merah pada harga RM2 bagi 10 batang, udang putih (RM10 bagi setengah kg), ikan keli (RM1 seekor),” katanya.

Mohd. Sallehuddin berkata, orang ramai juga boleh membeli anak pokok durian Musang King pada harga RM20 sepokok berbanding antara RM30 hingga RM60 di pasaran.

Beliau berkata, selain itu, pengunjung boleh menyertai pertandingan memancing wanita, Sembang Bisnes bersama Datuk Rosyam Noor, demonstrasi penghasilan bahan dan produk sabun serta anyaman tikar mengkuang.

“Pengunjung juga akan dihiburkan oleh penyanyi terkenal, Datuk Jamal Abdillah, Rohana Jalil dan Def-Gab-C pada konsert yang akan diadakan pada pukul 9 malam ini,” katanya.