Seramai 300 murid sekolah itu terlibat dalam pelbagai aktiviti seperti perlawanan futsal berkain pelikat, karaoke, memasak, mewarna dan membuat buku skrap selain kehadiran trak-trak jualan makanan dan minuman.

Menurut Guru SK Dato Wan Ahmad, Rokiah Hassan, program itu diadakan bertujuan untuk memberi peluang murid-murid menimba pengalaman belajar di luar kelas.

Katanya, ia juga selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan untuk memastikan sekolah-sekolah menjalin hubungan kerjasama yang baik antara komuniti dan swasta.

"Kita memilih Hospital Pakar KPJ Perlis ini kerana ia terletak berdekatan dengan sekolah.

"Pihak sekolah berterima kasih kerana KPJ Perlis telah memberi kerjasama, lebih-lebih lagi membuka peluang murid-murid mengadakan akitiviti di dalam dan luar hospital," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar semasa Program Karnival Hari Malaysia dan Penutupan Sambutan Perayaan Bulan Kebangsaan 2018 di Hospital Pakar KPJ Perlis di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengurus Besar Hospital Pakar KPJ Perlis, Sharian Hussain.

Dalam pada itu, Sharian memberitahu, sempena dengan program tersebut, pihak hospital berkenaan telah melancarkan Pakej Kesihatan Guru yang berharga cuma RM63 seorang.

Katanya, pakej yang meliputi pemeriksaan darah, kolesterol, buah pinggang, gout dan hati itu lebih murah berbanding sebelum ini.

"Justeru kita mengalu-alukan para guru untuk membuat pemeriksaan kesihatan bersama KPJ Perlis sebelum tamat promosi ini iaitu sehingga 30 September 2019," katanya.

Beliau turut meminta para guru yang mempunyai tekanan berikutan beban kerja yang tinggi supaya mendapatkan rawatan pakar mereka di hospital berkenaan.

Kata beliau, orang ramai yang berminat untuk membuat pemeriksaan kesihatan atau bertanya boleh menghubungi Hospital Pakar KPJ Perlis di talian 04-9707777 atau 04-9707788. - UTUSAN ONLINE