ALWI IBRAHIM
ALWI IBRAHIM

Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Alwi Ibrahim berkata, satu surat tunjuk sebab bertarikh hari ini juga telah  dikeluarkan kepada akhbar harian berkenaan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984.

Katanya, tempoh tiga hari telah diberikan kepada penerbit untuk menjawab surat tunjuk sebab tersebut dan tindakan selanjutnya akan diambil berdasarkan peraturan serta prosedur yang ditetapkan.

"Karikatur tersebut mungkin memudaratkan ketenteraman awam kerana menggalakkan perasaan niat jahat, perseteruan, permusuhan, kebencian dan prasangka buruk terhadap orang atau kaum lain.

"Ia juga secara tidak langsung seolah-olah telah mempersendakan Parlimen dan agama Islam kerana Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 yang digambarkan dalam karikatur itu adalah berkait rapat dengan hal ehwal agama Islam," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Akhbar itu baru-baru ini dilaporkan menyiarkan karikatur yang memaparkan seekor monyet bersongkok dan dilabelkan sebagai 'speaker' manakala seekor lagi memakai serban dan dinamakan 'Hadi Awang' bertenggek di pokok 'Akta 355'. - UTUSAN ONLINE