Pengerusinya, Tan Sri Badruddin Amiruldin berkata, langkah itu akan dilaksanakan dalam tem­poh terdekat bagi memastikan perniagaan berkonsepkan ka­ravan tani yang dimulakan oleh FAMA sejak 2008 dapat menambah pendapatan usahawan tani di negara ini kepada sekurang-kurangnya RM5,000 sebulan.

Kata beliau, ketika ini pencapaian nilai jualan karavan tani seluruh Malaysia adalah sebanyak RM19.82 juta dan terdapat sejumlah 250 usahawan tani yang me­ngusahakan perniagaan berkonsepkan itu dengan FAMA.

“FAMA akan bergerak di pe­ringkat negeri untuk berjumpa dengan menteri-menteri besar dan ketua-ketua menteri serta PBT bagi memohon lokasi sesuai untuk urus niaga perniagaan kara­van tani ini di setiap negeri.

“Harapan FAMA adalah kita dapat membawa anak-anak muda usahawan ini ke suatu era baharu iaitu trend berurus niaga berasaskan karavan tani,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Transformasi Peruncitan Melalui Karavan Tani/Food Truck 2016 Peringkat Kebangsaan di Bayou Lagoon Park Resort, Bukit Katil, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah FAMA, Saufi Deraman; Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Usahawan) FAMA, Ab. Razak Ab. Majid dan Pengarah Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Penjaja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Datuk Ibrahim Yusoff.

Sebanyak 350 usahawan karavan tani dari seluruh negara menyertai seminar itu bagi meningkatkan jaringan perniagaan serta memberi pendedahan kepada usahawan dan bakal usahawan mengenai insentif yang ditawarkan oleh FAMA dalam memajukan bidang perniagaan menerusi konsep karavan tani.

Menurut Badruddin, FAMA meletakkan sasaran untuk melahirkan 1,000 usahawan karavan tani menjelang tahun 2020 dan ketika ini terdapat sejumlah 600 peniaga konsep berkenaan di seluruh negara termasuk 250 yang berdaftar dengan FAMA.

“Selain itu, sasaran FAMA juga membuka sebanyak 1,000 outlet pasar tani di seluruh negara menjelang 2020 dan ketika ini ki­ta sudah mempunyai sebanyak 648 outlet pasar tani. Apabila kita buka outlet pasar tani yang baharu nanti, keutamaan akan diberikan kepada usahawan karavan tani untuk berniaga di tapak-tapak tersebut,” katanya lagi.