Kumpulan ini merasai peluang 'merempit' dengan motosikal kapcai di celah-celah kenderaan mewah di jalan raya bertaraf 'A+++' di sana, di samping bergambar dengan kuda besi itu di hadapan bangunan tertinggi dunia, Burj Khalifa.

Ketua kumpulan, Diami Yusoff, 60, berkata, mereka dijangka berada di 'bandar raya dunia' ini selama beberapa hari lagi bagi menyelesaikan urusan visa ke Arab Saudi.

Beliau berkata, masa yang ada digunakan untuk berehat di samping menelaah buku panduan ibadat umrah memandangkan hanya seorang daripada mereka pernah sampai ke Mekah iaitu penunggang paling 'otai' Mohamad Zalani Zulkifli, 64 yang menunaikan haji pada 2016.

"Bagi saya dan Mohamad Fadli Ab Rashid, 40, pula ini adalah pengalaman pertama kami untuk menunaikan umrah.

"Rasa teruja tetapi dalam masa sama sangat bersyukur kerana perjalanan kami semakin menghampiri ke kemuncaknya," katanya ketika dihubungi Utusan Online, di sini hari ini.

Kapcai mencilok

Kumpulan Gi Mekoh Nga Mutor menunggang motosikal kapcai meredah jalan raya di kota Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE). - UTUSAN ONLINE

Hari ini adalah hari ke 59 misi mereka ke Mekah dengan menunggang kapcai dan sudah melepasi perjalanan lebih 10,000 kilometer.

Sementara itu, Mohamad Fadhli pula berkata, mereka terharu mendapat sambutan cukup istimewa biarpun tiba lewat malam di pejabat Konsul Jeneral Malaysia di Dubai yang diketuai Konsul Jeneral sendiri, Datuk Yubazlan Yusoff pada hari pertama di UAE.

Katanya, mereka diraikan dengan jamuan hidangan masakan Malaysia di samping nasi biryani Arab.

"Ada nasi putih, lauk ayam gulai darat, gulai kuning udang, gulai lemak cili api, rendang burung, sambal lada bawang dan pelbagai lagi," katanya. - UTUSAN ONLINE