Beliau berkata, cadangannya yang mahu mengesyorkan sebuah stesen bagi projek berkenaan dibina di Nilai, Negeri Sembilan semalam dibuat atas kepentingannya sebagai Ahli Parlimen Seremban.

“Seperti yang saya katakan, apabila jajaran baharu dicadangkn kepada kerajaan, saya tidak mencampuri perkara itu, mahu letak stesen di mana dan sebagainya.

“Saya kata saya cuba berbincang, tetapi keputusan terakhir akan terletak pada Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) yang mengendalikannya.

“Saya tidak mahu orang kata kerana Menteri Pengangkutan dan itu (Nilai) kawasan Parlimen saya, maka (saya) perjuangkan stesen atau mempengaruhi keputusan daripada kementerian dalam menetapkan jajaran dan stesen di mana,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangannya yang mahu mengesyorkan stesen ECRL di Nilai ketika membahaskan usul titah ucapan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sempena Persidangan Pertama Penggal Kedua DUN Negeri Sembilan Ke-14, semalam.

Mengulas lanjut Anthony berkata, syor berkenaan sememangnya ada dalam perancangan kerana kerajaan mahu memaksimumkan pertumbuhan ekonomi di sepanjang jajaran negeri itu.

Katanya, Nilai dipilih kerana kawasan tersebut terdapat beberapa stesen komuter selain mampu menyuntik sokongan kepada pembangunan Malaysia Vision Valley (MVV).

“Jajaran ke arah selatan hampir dimuktamadkan oleh China Communications Construction Company Ltd. (CCCC) dan MRL, jadi kita mahu lihat bagaimana laluan itu dapat dimaksimumkan untuk pertumbuhan ekonomi.

"Satu daripada faktor yang kita lihat adalah ECRL dapat diintegrasikan dengan landasan kereta api sedia ada selain Nilai merupakan kawasan perindustrian,” katanya. - UTUSAN ONLINE