Perdana Menteri berkata, kapal milik negara akan terus berada di kawasan pertikaian sehingga proses rundingan melibatkan kedua-dua buah negara selesai.

"Ketika ini ekoran tiada keputusan mengenainya, kapal Singapura di sana dan kapal kita juga masih di sana," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Seminar On Anti-Corruption Champions: Sharing Session With Winners of the Sheikh Tamim Bin Hamad Al Thani International Anti-Corruption Excellence Award 2018, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Malaysia dan Singapura sebelum ini mempunyai perbezaan pendapat berkenaan Pengisytiharaan Pengubahan Had Pelabuhan di Johor Bahru.

Pada 6 Disember lalu, Malaysia menyampaikan bantahan kepada Singapura berkaitan keputusan negara itu untuk memperluaskan sempadan perlabuhan Singapura di Tuas.

Malaysia menegaskan sebarang tindakan menceroboh sempadan perairan Malaysia memberi indikasi mengubah had pelabuhan Johor Bahru, melanggar undang-undang antarabangsa dan meminta Singapura menarik balik keputusannya.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Singapura, Ng Eng Hen telah memberi amaran kepada kapal-kapal Malaysia supaya tidak menceroboh perairan republik tersebut.

Beliau mendakwa bahawa kapal-kapal milik Malaysia telah menceroboh perairan di Tuas secara berulang kali sejak November lalu.

Sementara itu, jelas Perdana Menteri lagi, Malaysia tidak akan mengamalkan sikap berkeras dengan Singapura bagi menyelesaikan isu dan pertikaian tersebut.

"Hubungan dengan Singapura baik dan kita akan runding tentang hak sesiapa berkenaan sempadan ini.

"Kita akan runding dengan Singapura, kita tak mahu berlawan dengan mereka.

"Kadang-kadang ada pertindihan tuntutan dan kita boleh selesaikan perkara ini melalui rundingan yang akan diadakan secepat mungkin," katanya. - UTUSAN ONLINE