Pengarah Maritim Negeri Johor Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, Sub-Pusat Menyelamat Maritim (MRSC Johor) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia mengaktifkan operasi carilamat (SAR) sejurus menerima maklumat laporan kejadian yang berlaku pada 2 petang di kedudukan 3.3 batu nautika timur Tanjung Sepang, Kota Tinggi itu.

"Berdasarkan maklumat kapten kapal, MV Amanda telah mengalami kerosakan pada jana kuasa dan menyebabkan wheel kapal tidak dapat berfungsi.

"Kapten kapal telah membuat full astern(undur penuh), namun, kapal tidak dapat berundur kerana ombak terlalu kuat," katanya menerusi kenyataan di sini malam ini.

Aminuddin berkata ombak menolak kapal tersebut sehingga bertembung dengan kapal lain lalu menyebabkan MV Amanda terbalik dan karam.

Beliau berkata bilangan kru MV Amanda dilaporkan seramai sembilan orang iaitu enam selamat manakala tiga masih hilang.

Menurut Aminuddin, Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) telah ditubuhkan di Pos Maritim Pengerang dekat Kota Tinggi bagi menyelaras usaha mencari mangsa yang masih hilang.

Katanya sebanyak tiga kapal dan sebuah bot daripada Maritim Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Pasukan Polis Marin telah berada di lokasi kejadian bagi operasi SAR tersebut.

Sementara itu, Aminuddin dijangka mengadakan sidang media berhubung perkembangan kejadian itu di PHC Pos Maritim Pengerang, 10 pagi esok.- BERNAMA