Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Selahuddeen Abd. Aziz berkata, tindakan penutupan itu dibuat hasil pemeriksaan oleh Pejabat Kesihatan Daerah ekoran gambar tular yang memaparkan seekor tikus di sebuah kantin.

Menurutnya, susulan aduan penularan gambar itu, Pejabat Kesihatan Daerah telah mengambil tindakan proaktif dengan memeriksa kantin berkenaan biarpun masih tidak dapat dipastikan kesahihan lokasi dan masa gambar tular diambil.

“Arahan penutupan kantin telah dikeluarkan bagi membolehkan kerja pembersihan secara menyeluruh dijalankan dan hanya akan dibenarkan dibuka semula apabila tahap kebersihan dapat dicapai dengan sempurnanya dan mematuhi syarat ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Tambahnya, Jabatan Kesihatan negeri juga ingin memaklumkan bahawa kerja-kerja kawalan serangga dan haiwan perosak adalah merupakan satu daripada skop kerja Pelan Penyelenggaraan ​Pencegahan (PPM) dalam program penswastaan Perkhidmatan Sokongan Hospital (PSH).

Jelasnya, syarikat konsesi yang dilantik akan menjalankan kawalan tikus melalui aktiviti pemeriksaan rutin dan PPM mengikut frekuensi yang ditetapkan iaitu pada setiap hari dan setiap bulan.

“Ia menggunakan pelbagai kaedah serta mekanisma seperti penggunaan umpan dan perangkap, menutup laluan tikus dan penghapusan tempat pembiakannya,” katanya.

Selain itu, menurutnya, pihak operator kantin juga mesti menjaga kebersihan di kantin dan menjalankan aktiviti pest control ​di tempat yang menyumbang kepada persekitaran tidak baik premis terlibat.

Beliau berkata, pelaksanaan aktiviti tersebut juga merupakan satu skop kontrak dan tanggungjawab operator kantin dengan pihak hospital.

Tegas Selahuddeen, Jabatan Kesihatan negeri dan pihak HSI sentiasa mengambil berat isu-isu berkaitan kebersihan dan keselamatan makanan sekali gus akan sentiasa memantau serta memastikan pelaksanaan aktiviti pencegahan kerosakan serta kawalan makhluk perosak

dijalankan pihak konsesi dan kerja pembersihan juga dilakukan oleh pengusaha kantin. - UTUSAN ONLINE