Beliau berkata, langkah itu dapat dilaksanakan khususnya untuk media cetak dengan memastikan setiap berita dilaporkan secara ringkas serta padat dan pada masa yang sama ditambah dengan kandungan berbentuk infografik.

“Oleh itu syarikat media cetak memerlukan lebih ramai artis grafik untuk membolehkan mereka menterjemah sesuatu berita kepada bentuk grafik,” kata Mohd. Noordin mewakili Malaysia ketika membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Trend Media Dunia, Pengalaman Malaysia’ pada persidangan Publish Asia 2016 yang berlangsung di sini hari ini.

Persidangan tersebut dirasmikan oleh Presiden Filipina, Benigno Aquino III.

Perubahan kehendak pengguna itu, kata beliau, berikutan peningkatan capaian jalur lebar di Malaysia yang pada tahun lalu mencecah 72.2 peratus dan pada masa yang sama kemudahan WiFi percuma juga semakin bertambah.

Syarikat telekomunikasi pula, ujar beliau, turut menawarkan pakej data yang lebih menarik iaitu pada kadar RM80 sebulan bagi 10 Gigabait (GB) yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Kadar pemilikan telefon selular pula telah mencapai 144.8 peratus ke 145.8 peratus,” jelas beliau.

Dalam sesi soal jawab, Mohd. Noordin turut berkongsi pengalaman Utusan Malaysia dalam menarik lebih ramai golongan muda membaca akhbar itu melalui penganjuran acara yang melibatkan golongan berkenaan seperti pelajar di universiti.

“Selepas ini Utusan Malaysia akan menganjurkan lebih banyak program yang membabitkan golongan muda,” katanya.

Mohd. Noordin juga berkata, sebagai syarikat induk, Utusan Melayu akan mempelbagaikan cabang perniagaannya tanpa bergantung sepenuhnya kepada persuratkhabaran di samping perlu melakukan pelbagai pendekatan berinovasi dalam media sosial.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Jawa Pos, Azrul Ananda turut bersetuju penganjuran program babitkan golongan muda telah berjaya meningkat jualan akhbar berkenaan ketika akhbar lain di Indonesia menjunam jualannya.

Kata Azrul, akhbar berkenaan juga mempertingkat program di peringkat negeri dan daerah untuk tujuan yang sama. – UTUSAN