Sebaliknya, Abd. Wahab Yahaya, 56, berkata, kemalangan yang menyebabkan seorang pejalan kaki warga Thailand maut itu merupakan satu hikmah yang paling besar yang pernah terjadi dalam hidupnya sepanjang hayat.

Katanya, tiada sebarang kekesalan terbit di dalam hati meskipun terkandas dalam tempoh lama di negara tersebut malah, dia dapat mengenali rakan-rakan warga Thailand yang banyak membantu memudahkan urusan.

“Saya sebenarnya amat bersimpati dengan isteri kepada pejalan kaki yang maut itu. Isterinya kini sedang mengandung dan dijangka melahirkan anaknya pada tahun ini.

“Atas rasa tanggungjawab, saya berhasrat untuk mengambil anak yang bakal dilahirkan itu sebagai anak angkat. Ia keputusan yang amat besar buat saya untuk membantu mereka,” katanya ketika ditemui pemberita selepas tiba KLIA2 di sini hari ini.

Media baru-baru ini melaporkan dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam pada 19 Disember lalu, Abd. Wahab dan isterinya, Junaidah Muhammad Said, 45, yang menunggang sebuah motosikal telah terlanggar seorang pejalan kaki di Jalan Aonang di Krabi ketika datang bercuti di pusat peranginan tersebut.

Berdasarkan undang-undang di Thailand, penunggang motosikal atau pemandu kenderaan adalah didapati bersalah jika terlibat dalam kemalangan membabitkan pejalan kaki.

Ekoran kejadian itu, pejalan kaki itu maut manakala Abd. Wahab cedera di bahagian mulut selain perlu menjalani pembedahan untuk membuka jahitan dan skru di tulang pipinya manakala isterinya mengalami gegaran kecil di kepala.

Abd Wahab juga perlu menghadapi proses perbicaraan di mahkamah dan berdepan kesukaran untuk meninggalkan negara jiran itu.

Dalam pada itu, Abd. Wahab berkata, dia mendapat kebenaran mahkamah di Krabi untuk pulang ke tanah air bagi mendapatkan rawatan susulan di negara ini, namun perlu kembali ke semula ke Thailand dalam tempoh 12 hari. - UTUSAN ONLINE