Pakar Kesihatan, Dr. Mohd. Ismail Mohd. Tambi berkata, kepala kemaluan lelaki yang terpotong tidak boleh dipulihkan kepada normal dan hanya boleh diperbaiki dengan mengambil tisu lembut dari anggota badan yang lain.

“Luka kesan daripada pemotongan kepala zakar itu akan sembuh tetapi bentuk anggota tubuh itu tidak akan kembali normal seperti orang lain.

“Kejadian ini boleh memberi impak yang serius kepada mangsa dan kanak-kanak tersebut akan mengalami kesan psikologi apabila dewasa nanti, malah boleh berlaku trauma kepada pasangan yang bersetubuh dengan mangsa pada kemudian hari nanti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai dua kes melibatkan kanak-kanak lelaki yang terpotong kepala kemaluan mereka ketika berkhatan dalam bulan ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Ismail berkata, ibu bapa kepada kanak-kanak yang mengalami kejadian itu perlu menghantar anak mereka ke pusat pemulihan bagi membantu memulihkan psikologi mereka.

“Perkara ini perlu untuk memastikan pakar psikologi dapat memantau keadaan mangsa dari semasa ke semasa termasuk penerimaan kanak-kanak itu dan bukannya habis setakat itu sahaja,” jelasnya.