Seorang kanak-kanak ditemui di Lebuh Raya Cheras-Kajang di sini semalam

Kanak-kanak itu ditemukan oleh seorang lelaki kira-kira pukul 4.20 petang dalam keadaan sihat sebelum diserahkan kepada pihak polis di pejabat pengurusan tol batu 11, Grand Saga Sdn. Bhd.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Othman Nayan berkata, kanak-kanak yang dianggarkan berumur 6 tahun itu ditemui memakai baju-T berwarna hijau dan berseluar pendek berwarna biru gelap.

“Kanak-kanak yang tidak fasih berbahasa Melayu dan Inggeris ini ditemui di tepi lebuh raya selepas plaza tol menghala ke Kuala Lumpur.

“Buat sementara dia kini ditempatkan di Balai Polis Batu Sembilan untuk di tindakan lanjut sehingga keluarganya ditemui semula,” katanya.

Menurut Othman, pihaknya meminta bantuan orang ramai untuk membantu polis bagi mengesan keluarga kanak-kanak berkenaan.

“Sekiranya sesiapa mengenali mangsa diminta untuk menghubungi Ketua Polis Balai Batu Sembilan, Asisten Superintenden Samsudin, di talian 019-2856137,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE