Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, difahamkan kampus tersebut telah siap sebanyak 84.62 peratus ketika ini.

Katanya, apabila siap, kampus Infra itu dapat memberikan pelbagai jenis latihan khususnya kepada pemimpin peringkat akar umbi seperti jawatankuasa kampung.

“Kemudahan ini juga dapat digunakan bagi melatih usahawan luar bandar,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Pra Pelancaran Kampus Infra Cawangan Sarawak di sini pagi ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi; Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani.

Kampus tersebut merupakan yang kedua dibina di negara ini selepas kampus utama di Bangi, Selangor di bawah projek pembangunan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

Pembinaan kampus itu memberi peluang kepada kumpulan sasar terdiri daripada pemimpin akar umbi (Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat), belia, wanita serta masyarakat luar bandar Sarawak mendapat latihan yang ditawarkan secara berterusan.

Kursus pentadbir desa yang diikuti di sini nanti diharap dapat mengilap kemahiran peserta dalam bidang tadbir urus desa dan komuniti.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, sebuah taman industri bio juga telah dipersetujui untuk dibina di bahagian ini berdekatan dengan pusat pengumpulan hasil pertanian.

Sehubungan itu, katanya, kampus Infra tersebut sudah tentu akan membantu memperkasakan lagi usahawan dan pemimpin masyarakat di sini.

Sementara itu, ditanya mengenai hasil pertemuan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri-negeri bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini, Abang Johari memberitahu, beliau tidak menyertai perjumpaan tersebut

Katanya, hal ini kerana beliau sudah berjumpa dengan Najib ketika Perdana Menteri mengadakan lawatan kerja ke Miri pada minggu lalu. - UTUSAN ONLINE