“Sekarang, keadaan di Arakan (kini dikenali Rakhine) sangat dahsyat. Anak-anak tak boleh ke sekolah. Kalau sakit, tak boleh ke klinik. Kami juga tidak dibenarkan bekerja di sektor awam. Macam mana nak hidup?” luah hati Mohd. Rafique Khairul Bashar kepada Utusan Malaysia Sabtu.

Mohd. Rafique adalah Pengerusi Ethnic Rohingya Committee of Arakan (ERCA) Malaysia. Namun, katanya, apa yang lebih teruk adalah penindasan yang dilakukan tentera junta Myanmar ke atas etnik Rohingya di wilayah Arakan. Pembunuhan sewenang-wenangnya dilakukan. Rumah penduduk dibakar, wanita, anak dara dirogol tanpa belas kasihan. Itu keadaan yang berlaku sekarang di wilayah tersebut.

Beliau yang telah 20 tahun menetap di Malaysia berkata, beliau masih berhubung dengan keluarganya yang menetap di sebuah kampung di Kyauktaw, Arakan.

“Kehidupan sekarang amat teruk. Hak kami (etnik Rohingya) sebagai warganegara dinafikan selepas Akta Kewarganegaraan yang digubal pada 1982 dilaksanakan. Akta itu tidak mengiktiraf Rohingya sebagai salah satu etnik di negara itu, tidak diberi kewarganegaraan dan dilucutkan hak rakyat dalam sosio-ekonomi negara itu,” katanya kepada Utusan Malaysia Sabtu.

Kesan daripada itu, etnik Rohingya mula meninggalkan kampung halaman untuk menjadi pelarian di negara lain, seperti Thailand, Malaysia, Indonesia dan Bangladesh.

Mengulas lanjut, Mohd. Rafique berkata, beliau kini mahu fokus dalam membela nasib pelarian Rohingya di Malaysia. Katanya, terdapat banyak pertubuhan Rohingya di negara ini dan ERCA adalah salah satu daripadanya.

Memang ada banyak organisasi yang menjaga kepentingan etnik Rohingya di negara ini, namun ERCA katanya, menjaga kebajikan semua pelarian etnik itu. Katanya, ERCA kini terdapat di semua negeri di Semenanjung dan setiap negeri mempunyai wakil yang mengurus aktiviti pertubuhan itu.

“Saya anggarkan terdapat kira-kira 140,000 pelarian Rohingya di Malaysia. Daripada jumlah itu, hanya kira-kira 53,000 yang berdaftar dengan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) Malaysia,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa status etnik Rohingya di negara ini adalah pelarian, bukannya pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Memang kami masuk secara haram ke negara ini, tetapi apabila kami masuk, kami akan didaftarkan di UNHCR. Namun, saya kesal kerana permohonan untuk mendapatkan kelulusan berjalan amat perlahan sehingga majoriti etnik Rohingya di Malaysia masih tidak menerima kad UNHCR. Tanpa kad ini, kami boleh ditangkap polis dan diserahkan kepada imigresen untuk tindakan lanjut termasuk dihantar semula ke Myanmar.

“Tanpa kad itu juga, pelarian tidak layak menerima diskaun untuk semua jenis rawatan dan perubatan di klinik atau hospital kerajaan. Kalau ada kad, diskaun sebanyak 50 peratus layak diterima,” katanya.