Keterujaan bukan sahaja terpancar pada wajah rakyat yang bakal menerima manfaat, tetapi juga seluruh tenaga kerja yang selama ini bertungkus lumus menyiapkan projek mengikut tempoh ditetapkan.

Tanpa mengira siang dan ma­lam, hujan dan panas, mereka tetap berusaha untuk memastikan projek yang memberi manfaat kepada kira-kira 500,000 penduduk itu benar-benar direalisasikan.

“Ini bukan lagi mimpi tetapi satu kenyataan. Kami berbangga dengan pencapaian ini.”

Demikian diluahkan Pengarah Projek MRT SBK, Marcus Karakashian kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu beliau meluangkan masa kira-kira 2 jam meninjau pengoperasian MRT SBK bersama media di empat buah stesen bawah tanah di sini.

Yang turut hadir Pengarah Komunikasi Strategik dan Hubu­ngan Pihak Berkepentingan MRT, Datuk Najmuddin Abdullah dan Pengarah Pengurusan Tanah dan Komersial, Datuk Haris Fadzilah Hassan.

Beliau merupakan antara individu penting yang sejak awal lagi terlibat dalam memastikan projek pembinaan MRT SBK berjalan lancar.

“Pengoperasiannya sepenuh­nya pada hari esok se­suatu yang amat dinantikan.

“MRT bukan sahaja satu projek mega yang menyediakan per­khidmatan awam kepada rakyat, malah turut menyediakan kemudahan kepada orang ramai serta merancakkan sektor ekonomi sesebuah kawasan.

“Bahkan, kejayaan projek ini dilihat mampu mengembangkan lagi kemajuan negara khususnya di ibu negara,” katanya.

Karakashian berkata, pihaknya akan sentiasa berusaha untuk menambahbaik sistem sedia ada bagi memastikan perkhidmatan ini dapat disediakan secara berkesan dan efisien.