Inisiatif berkenaan diperkenal bagi memberikan nilai yang lebih kepada pengguna, terutama Neffos Y5, sebuah peranti ideal untuk mereka yang mementingkan nilai namun mahu memiliki telefon pintar dengan prestasi yang baik tanpa melebihi bajet mereka.

Neffos Y5 merupakan peranti yang dapat memberikan persembahan terbaik menerusi chipset Qualcomm quadcore, pengalaman kamera yang luar biasa, visual menakjubkan menerusi skrin berdefinisi tinggi, sambungan mudah alih yang pantas, keupayaan kad dwi-SIM dan sistem operasi Android yang paling selamat.

Pengurus Negara TP-Link Distribution Sdn. Bhd., Hugo Chai berkata, mereka percaya bahawa ia adalah masa yang tepat untuk membawa siri Neffos Y5 ke pasaran tempatan berdasarkan insentif pembelian telefon pintar yang boleh dinikmati rakyat Malaysia sebagaimana yang dibentangkan dalam Bajet 2017 baru-baru ini.

“Neffos Y5 merupakan lambang komitmen tidak berbelah bahagi daripada kami untuk menyampaikan produk terbaik yang mampu menangani pelbagai permintaan pasaran dan kami akan terus memperkenal produk inovatif dengan tujuan untuk menawarkan penyelesaian bijak kepada pengguna,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Pengguna kini boleh menikmati ketenangan fikiran apabila memiliki Neffos dengan program jaminan selama dua tahun.

Program jaminan ini meliputi perkhidmatan untuk isu-isu mekanikal dan teknikal (tidak termasuk kerosakan akibat kemalangan atau skrin pecah) bagi semua model telefon pintar Neffos.

Selain itu, Neffos turut menyediakan pertukaran peranti sekiranya peranti rosak sehingga tidak boleh dibaiki lagi bagi tempoh tiga bulan pertama selepas tarikh pembelian.

Neffos Y5 mempunyai pemproses quad-core 1.3GHz dan 2GB RAM. Kapasiti RAM 16GB dan sokongan MicroSD sehingga 32GB pula menyediakan ruang yang cukup untuk pengguna memasang aplikasi dan permainan.

Dari segi kamera pula, Neffos Y5 dilengkapi kamera belakang 8 megapiksel dengan sokongan LED flash dan juga kamera hadapan 2 megapiksel.

Antara ciri lain yang menarik pada Neffos Y5 adalah ia menyokong sistem dwi-SIM, memudahkan pengguna yang mempunyai dua talian.

Selain itu TP-Link menawarkan sistem operasi Android Marshmallow dengan kemas kini yang pantas dan baik.