Malah, beliau secara sinis ingin membawa Menteri Tenaga, Teknologi Hijau, dan Air, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili dan Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang melawat empangan yang ada dan mencampak mereka ke dalam empangan tersebut.

Kedangkalan Azmin ini mendapat maklum balas terus daripada Zaini keesokan harinya apabila penerima Anugerah Merdeka 2009 ini menjelaskan perbezaan antara paras air mentah di empangan dengan margin simpanan air, namun sehingga ke hari ini masih belum ada sebarang kenyataan balas daripada Azmin.

Perdebatan soal air ini turut mendapat perhatian para netizen yang tidak ketinggalan meluahkan perasaan dan pendapat berkenaan isu yang saban tahun membelenggu rakyat Selangor dan Lembah Klang ini.

Tinjauan Utusan Malaysia di media sosial mendapati kebanyakan pengguna bukan sahaja menempelak kegagalan Azmin dalam memahami fakta yang dikeluarkan Zaini, malah ada yang mempersenda Timbalan Presiden PKR itu.

Seorang pengguna Twitter, Aheri Anuar berkata, Azmin gagal memahami bahawa air yang ada di empangan yang disebutkan adalah air mentah dan belum dirawat, maka ia masih belum boleh digunakan di rumah untuk kegunaan harian.

“Saya rasa YAB Azmin yang tak faham, kalau ada 100 tasik penuh air sekalipun, itu air mentah! Lembu dan kambing bolehlah minum air belum rawat,” katanya seperti dipetik dari laman Twitter.

Sementara itu, seorang pengguna Facebook, Abas Saad pula berkata, empangan yang penuh tidak membawa sebarang makna kepada rakyat sekiranya kemampuan untuk merawat air tersebut tidak mencukupi.

“Empangan penuh buat apa kalau keluaran air terawat oleh loji rawatan tidak mampu memenuhi kehendak keperluan air pengguna?

“Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ini Azmin boleh terjun ke dalam empangan,” katanya sinis.

Nampaknya semakin ramai netizen yang mula sedar fakta yang dibentangkan Azmin hanyalah helah yang digunakan untuk melepaskan diri daripada bertanggungjawab atas kegagalan menguruskan sumber air dengan baik di Selangor.

Sebelum terus menjadi bahan gurauan netizen, ada baiknya untuk Azmin mengakui kesalahan dan memperbaikinya secepat mungkin. - UTUSAN ONLINE