Kata Kamardeka, nama unik yang diberikan kedua-dua arwah ibu bapanya, Abdul Muttalib Kulup Arshad dan ibunya, Mahinson Hitam Mat Rasin itu menyebabkan dia cukup popular dari zaman kanak-kanak sehingga bersara daripada Jabatan Pertanian Perak, enam tahun lalu.

Malah, kata beliau yang berasal dari Kampung Pulau Besar, Kampung Gajah, rata-rata saudara- mara, rakan dan sahabat handai lebih mengenalinya dengan nama ‘Merdeka’ sehingga menenggelamkan awalan Kamar pada nama penuhnya.

“Sebut sahaja ‘Merdeka’ atau ‘Pak Merdeka’, semua kenal saya. Saya bangga kerana nama itu akan diingati sampai bila-bila kerana ia tarikh keramat untuk negara,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini hari ini.

Menceritakan perihal nama­nya, Kamardeka yang merupakan anak ketujuh dari 10 adik beradik berkata, namanya itu merupakan gabungan antara nama Kamarudin yang dipilih ibunya serta Merdeka yang menjadi pilihan ayahnya kerana dilahirkan pada hari yang sama dengan Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.

“Kedua-dua mereka tekad untuk menamakan saya dengan nama pilihan masing-masing dan akhirnya ayah beralah dan menamakan saya Kamardeka iaitu gabungan dengan nama Kamarudin yang dipilih ibu.

“Alhamdulilah, nama itu cu­kup unik dan saya amat bangga dengannya,” kata bapa kepada dua anak lelaki dan seorang pe­rempuan itu.

Sementara itu, Kamardeka berkata, kenangan manis yang tidak akan pernah dilupakannya apabila dia terpilih untuk diraikan oleh kerajaan Persekutuan selama 10 hari pada 2007.

“Saya menjadi antara 19 orang anak-anak merdeka yang mempunyai nama unik ‘Merdeka atau Malaysia’ serta antara 50 orang yang lahir pada 31 Ogos 1957 untuk diraikan dalam satu majlis sempena ulang tahun kemerdekaan ke-50 ketika itu,” katanya.