Kehidupan pasangan Mohd. Azmee Munir, 34, dan Siti Nur Ain Hassan, 27, itu bertambah sukar apabila anak bongsu mereka, Muhammad Aryyan Amsyar yang berusia setahun lima bulan disahkan menghidap ketumbuhan di bahagian kepala sejak November tahun lalu.

Situasi itu sekali gus memerlukan bayi tersebut menjalani sesi kimoterapi setiap minggu di Pulau Pinang.

Dengan pendapatan bersih Mohd. Azmee yang bekerja sebagai pemandu di sebuah universiti di sini hanya RM1,100 sebulan, bayangkan bagaimana kehidupan mereka yang turut mempunyai tanggungjawab untuk membesarkan dua lagi anak yang masing-masing berusia 10 dan sembilan tahun.

Ibarat kais pagi makan pagi, keluarga ini hanya makan sekali sehari kerana wang yang ada dan ditambah dengan bantuan rakan-rakan, perlu digunakan untuk menampung perjalanan ke Hospital Pulau Pinang pada setiap minggu bagi mendapatkan rawatan untuk Muhammad Aryyan.

Apa yang mengundang rasa terkilan keluarga ini apabila permohonan mereka bagi mendapatkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada awal Januari lalu telah ditolak atas alasan suaminya dikatakan mempunyai pendapatan yang cukup.

“Kalau mampu, kami tidak akan meminta bantuan. Wakil JKM ada datang ke rumah (Januari lalu) dan kata mereka (wakil JKM), suami saya bekerja kerajaan dan mempunyai pendapatan yang cukup, jadi tidak layak. Selain itu, saya juga dinasihatkan supaya melakukan kerja-kerja sampingan untuk menambah pendapatan keluarga.

“Bayangkan, kami terpaksa belanja kira-kira RM2,000 sebulan untuk kos perjalanan ke hospital, anak saya dua orang masih bersekolah, sewa rumah perlu dibayar, makan minum kami terpaksa dicatu, hanya makan sehari sekali,” kata Siti Nur Ain.

Bagi menampung perbelanjaan itu, suami terpaksa me­lakukan pelbagai kerja lain, manakala saya membuat kek pada masa terluang kerana Muhammad Aryyan sentiasa memerlukan perhatian.

“Anak-anak adalah kekuatan kami untuk terus berjuang dalam keadaan serba kekura­ngan ini. Sekali lagi saya berharap, agar JKM dapat memberi bantuan bulanan kepada kami. Sekurang-kurangnya bantuan itu dapat meringankan beban kami sekeluarga,” katanya.

Sementara itu, orang ramai yang ingin membantu keluarga tersebut, boleh berbuat demikian dengan memberi sumbangan yang boleh disalurkan ke akaun CIMB 7615685655 milik Siti Nur Ain atau menghubungi talian 0179824069 untuk sebarang pertanyaan lanjut.