Timbalan Menteri Sumber Manusia, Da­tuk Mahfuz Omar berkata, lagi pun terdapat beberapa perkara yang tidak perlu dituntut secara berlebihan kerana tindakan sebegitu hanya akan membuatkan masyarakat menjadi celaru.

“Kalau dah lelaki, guna tandas lelaki sajalah. Tak payah fikir nak tuntut itu dan ini kerana tindakan tersebut hanya akan membuatkan masyarakat kita jadi bercelaru.

“Tapi saya fikir itu bukan isunya. Isunya sekarang adalah memberi kesedaran kepada mereka dan dekati golongan berkenaan secara le­mah lembut,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Hari Anugerah Kecemerlangan Sekolah Kebangsaan Convent di Perpustakaan Awam Negeri di sini, hari ini.

Begitupun kata­nya, kementerian terbabit bersikap terbuka untuk menerima sebarang laporan daripada golo­ngan tersebut sekiranya hak-hak mereka selaku pekerja dinafikan.

“Setakat ini masih tiada laporan. Mungkin perkara itu (diskriminasi) berlaku tetapi tia­da laporan dibuat kerana kebiasaannya orang tak berani la­por disebabkan beberapa per­kara termasuk kemungkinan dibuang kerja,” katanya.

Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa berkata, beliau merasakan tiada masalah untuk golongan transgender yang kelihatan seperti wanita untuk masuk ke tandas wanita daripada mereka menggunakan tandas lelaki memandangkan keadaan itu mungkin menimbulkan lebih banyak masalah.

Mengulas lanjut, kata Mahfuz, isu berkaitan LGBT tidak seharusnya dilihat dalam kerangka yang salah kerana tindakan sesetengah pihak memperlihatkan LGBT sebagai satu ancaman pada akhirnya hanya akan membentuk pertembungan kebencian dalam kalangan orang ramai.