Tuntutan Malaysia di situ dipercayai melibatkan kira-kira 11 kawasan maritim atau kira-kira 20 terumbu. Namun kebanyakan gugusan dan terumbu utama, antaranya Terumbu Layang-Layang, Beting Patinggi Ali, Terumbu Layar sudah pun diduduki negara.

Cuma, ada satu dua terumbu, penulis dimaklumkan oleh sumber perisikan baru-baru ini, diduduki Viet­nam di hujung Sabah dan Fili­pina.

Berbanding Malaysia, dua lagi negara, Filipina dan Vietnam agak kurang bernasib baik kerana terumbu-terum­bu utama yang dikatakan dalam perairan mereka, kebanyakan­nya telah dibuat penambakan oleh China.

Mengapakah Kuala Lumpur perlu memperjuangkan haknya di lautan strategik itu, dengan seminggu dua ini dikatakan wujud elemen ‘provokatif’ daripada ne­layan China yang diiringi kapal-kapal penga­wal pantai (Coast Guard) mereka berdekatan Beting Patinggi Ali - 84 batu nautika dari Sarawak?

Sejak 2014 lagi, kapal-kapal milik China telah menghampiri dan berlabuh di situ. Kapal-kapal Coast Guard ini dikatakan mampu melakukan kegiatan penyelidikan bawah permukaan. Adakah ini satu kelebihan taktikal kepada armada kapal selam China?

Kepentingan ekonomi adalah sebab utama mengapa Malaysia mempertahankan haknya di Laut China Selatan, kata sumber. Aktiviti perikanan oleh nelayan dari Sabah dan Sarawak bertumpu di lautan itu.

Fokus dan kapasiti nelayan kita tidak sebesar nelayan mereka. Nelayan kita cuma boleh pergi sejauh 50 hingga 60 natu nautika. Keluar pagi balik lewat petang, tidak mahu duduk seminggu di laut. Sedangkan Laut China Selatan kaya segala jenis ikan termasuklah ikan tuna bernilai tinggi. Tanpa peralatan dan kapal yang canggih, nelayan kita sukar bersaing.

Hal ini tidak perlu berterusan. Kalau tidak lama kelamaan hasil laut negara susut. Nelayan terutama dari Miri juga nanti tidak perlu lagi takut-takut mendekati Beting Pa­tinggi Ali yang kedudukannya 2,000 kilometer dari tanah besar China.

Begitu juga carigali dan pengeluaran gas dan petroleum yang bertumpu di lautan ini.

Malaysia merupakan pengeluar minyak dan gas asli (O&G) kedua terbesar di Asia Tenggara, dan merupakan pengeksport cecair gas asli (LNG) ketiga terbesar di dunia – dengan majoriti sumber alam ini datang dari Laut China Selatan. Sehingga 2014, industri O&G me­nyumbang satu pertiga daripada pendapatan tahunan negara, de­ngan sebahagian daripada lapangan dan pelantar terletak di dalam kawasan 9GP.

Isu tuntutan di Laut China Selatan sensitif. Negara, terutama sekali Wisma Putra sentiasa memikir se­langkah ke depan. Kita tidak mahu senasib Filipina. Pernah nelayan dari sebuah kuasa besar didapati menceroboh perairan Filipina dan republik itu menghantar kapal tenteranya ke sana untuk membuat tangkapan. Tetapi kerana kekuatan negara asal nelayan itu lebih besar dan canggih, terpaksa tentera laut Filipina berundur.

Namun akibatnya, atas alasan mahu melindungi nelayan mereka pada masa depan, kapal-kapal Coast Guard mereka dikekalkan di perairan berkenaan. Untung­nya berdepan dengan mereka ini sedikit, tetapi jangka panjang me­rugikan.

Kerana itu, Kuala Lumpur me­nguruskannya secara berhati-hati. Kebanyakannya tidak terus kepada publik tetapi lebih bergerak ‘di belakang tabir’.

Lagipun, kapal milik negara se­perti Agensi Penguatkuasaan Ma­ritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang beroperasi di Laut China Selatan hanya bersaiz 50 hingga 60 meter panjang berbanding kapal mereka yang panjang dan lebarnya antara 1,500 hingga 3,000 meter. Malah, Amerika Syarikat pun pernah mengantar kapal peninjau ke laut ini, tetapi ‘tenggelam’ dengan saiz kapal pesaing mereka.

Ini apabila China mengisytiharkan pengenalan zon pertahanan udara atau air ‘defence identification zone’ (ADIZ) di kepulauan dipertikaikan dan bertindih dengan ADIZ Jepun sendiri. ADIZ digunakan oleh China untuk menuntut hak pesawat laluan ke atas Kepulauan Senkaku. Ini memberikan alasan untuknya menguatkuasakan ‘langkah-langkah kecemasan pertahanan’ termasuk kawalan dan pelupusan terhadap pencerobohan pesawat dari negara lain.

Isu tuntutan bertindih di Laut China Selatan amat sensitif kerana melibatkan aspek Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) negara dan pematuhan peruntukan Konvensyen PBB Me­ngenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS 1982). Ia melibatkan keterampilan dan mengundang kuasa besar dunia. Dengan kes-kes penculikan, tambah menyulitkan isu ini.

Peruntukan UNCLOS 1982 menyebut negara berpantai seperti dijelaskan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, berhak menuntut kawasan EEZ dan pelantar benua sehingga 200 batu nautika.

Kerana itu, jangan ada menteri tertentu selain Wisma Putra membuat kenyataan bercanggah, umumkan angka kapal ‘menceroboh’ itu ini.

Dan akhirnya bukan sahaja merumitkan lagi isu tuntutan ini tetapi merugikan negara.