Perdana Menteri nampaknya masih belum ‘hilang sentuhan’ meskipun lebih satu dekad tidak menjawab soalan di Parlimen.

Dr. Mahathir kelihatan tenang menjawab, tetapi ada kalanya tergagap ketika membaca jawapan mungkin kerana faktor usia.

Sekali-sekala, sebagaimana sikap beliau yang sinikal, jawapan sinis diberikan kepada soalan tambahan yang diajukan kepadanya.

Soalan pertama dijawab Dr. Mahathir adalah berkaitan 10 janji dalam 100 hari pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan yang diutarakan oleh Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang).

Beliau mengakui dalam tempoh 70 hari sejak mentadbir negara, hanya dua daripada 10 janji telah mula dilaksanakan.

Dr. Mahathir berkata, enam janji sedang ditunaikan dan dua lagi belum dimulakan langkah pelaksanaan.

“Tumpuan bukan hanya pada 10 janji ini. Dalam 100 hari banyak kerja perlu dilaksanakan kerajaan.

“Yang utama tindakan bersihkan kerosakan hasil rasuah, salah guna kuasa yang dilakukan jentera kerajaan terdahulu,” kata beliau.

Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) mengenai sama ada janji dalam manifesto akan ditunaikan atau hanya sebagai panduan, Dr. Mahathir secara sinis menyatakan tidak sedar manifesto itu dianggap sebagai buku suci.

Beliau menerangkan, kerajaan mendapati beberapa rintangan yang perlu diatasi terlebih dahulu sebelum janji-janji dapat ditunaikan antaranya aspek perundangan.

“Kalau kami berdosa, kami tanggunglah. Tapi tidak anggap manifesto sebagai al-Quran atau Bible,” jelas beliau. - UTUSAN ONLINE