Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Sing Deo berkata, proses tersebut bagaimanapun masih di peringkat perbincangan dan akan dilaksanakan selepas penyelarasan dibuat.

“Saya dalam proses menerima laporan mengenai cadangan itu bagi menempatkan semua kakitangan Jasa dalam kementerian ini.

“Laporan tersebut melibatkan dua bahagian iaitu kakitangan tetap dan kontrak untuk dinilai mengenai jawatan dan bahagian yang bersesuaian supaya mereka boleh meneruskan tugas masing-masing,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan bersama warga kementerian, di sini hari ini.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada Mei lalu mengumumkan pembubaran Jasa sebagai langkah penjimatan selepas kerajaan Pakatan Harapan berjaya menawan Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu. - UTUSAN ONLINE