Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau juga telah mengeluarkan arahan supaya semua kakitangan Imigresen yang bertugas di kaunter pelepasan itu ditukar bagi memastikan integriti pasukan keselamatan berkenaan terus terjaga.

“Saya telah arahkan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen (Datuk Seri Mustafar Ali) untuk ketatkan kawalan di pintu masuk terutama KLIA.

“Kita akan gantikan kumpulan yang disyaki terlibat dalam kegiatan demikian dengan kumpulan lain dan pada waktu sama kita menambah pegawai dari lain-lain pejabat untuk bertugas di KLIA,” katanya dalam sidang akhbar selepas taklimat bersama Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di Ibu Pejabat Batalion 17 Pasukan Gerakan Am, Lahad Datu, di sini hari ini.

Sebuah akhbar sebelum ini melaporkan sindiket dikuasai warga Bangladesh memperoleh RM5.2 juta setahun, hasil daripada aktiviti menyeludup rakan senegara mereka melalui KLIA.

Sindiket terbabit dikatakan mengenakan bayaran antara RM15,000 hingga RM20,000 setiap seorang termasuk wang ‘pelincir’ kepada beberapa pihak berkuasa terutama anggota dan pegawai Jabatan Imigresen. - UTUSAN ONLINE