USAHAWAN OKU, Nur Samawati Mahmud bersiar-siar di sekitar KLCC setelah kisahnya mendapat perhatian Kumpulan Utusan dan Petronas Dagangan Berhad di Menara Berkembar Petronas (KLCC), hari ini. - UTUSAN ONLINE/FAISOL MUSTAFA

Menurut gadis yang baru menyambut ulang tahun kelahiran ke-33 kelmarin, dia bukan sahaja berkongsi pengalaman berkunjung ke sana dengan jiran serta sanak-saudara malah turut diceritakan di laman Facebook (FB) miliknya.

“Sejak malam Isnin lalu, sebaik sahaja tiba di Kuala Lumpur, Kak Long dah mula tidak sihat, tak larat sangat.Mungkin sebab Kak Long letih sebab tidak biasa berjalan jauh. Tapi disebabkan seronok nak melawat KLCC, Menara Berkembar Petronas, hilang semua sakit,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini, hari ini.

Kak Long berkata, demam dan batuk yang dialami semakin teruk selepas pulang dari Kuala Lumpur terutama pada Khamis lalu.

“Semalam baharu Kak Long pergi Hospital Sultanah Bahiyah selepas demam dan batuk makin teruk. Kak Long tak ditahan dalam wad cuma kena berehat hampir enam jam di zon kuning (Jabatan Kecemasan dan Trauma).

“Doktor kata Kak Long kena jangkitan kuman, jadi kena masukkan ubat dan air. Hari ini, demam dan batuk Kak Long dah kurang sikit,” ujar gadis dari Kampung Gelong Gajah Pendang itu.

Kak Long mula dikenali selepas video bertajuk Dengan Lidah, Kak Long Harap Dapat Bantu Bisnes Ibu mula tular di media sosial selepas disiarkan menerusi Utusan Online pada 15 Januari lalu.

Video tersebut ditonton lebih 934,000 orang dengan jumlah perkongsian 9,300 sejak disiarkan.

Petronas Dagangan Berhad bersama Utusan Online pada 30 Januari lalu merealisasikan hasrat yang dipendam Kak Long hampir 20 tahun untuk melihat KLCC secara dekat.