Pada sesi bertemu peminat itu, Kajol, 43, ditemani pasangan lakonannya dalam filem Velaiilla Pattadhari 2 atau VIP2, Dhanush.

Turut menyertai sesi tersebut ialah pengarah VIP2, Soundarya yang juga anak kepada legenda perfileman India, Rajinikanth.

Ini merupakan kali kedua Kajol berkunjung ke Malaysia selepas menjadi tetamu untuk pelancaran saluran Bolly One HD pada September 2014.

Kehadiran isteri kepada pelakon, Ajay Devgan itu dibawa khas oleh syarikat Malik Streams Corporation Sdn. Bhd., bagi mempromosi filem VIP2 yang bakal ditayangkan di pawagam tempatan bulan depan.

Filem VIP2 yang menampilkan Dhanush sebagai Raghuvaran B.E akan ditayangkan dalam bahasa Hindi, Tamil dan Telegu.

Sementara itu, di sebelah siangnya, Kajol menghadiri majlis minum petang bersama isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor di Putrajaya serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.

“Satu lagi untuk kelab wa­nita... bersama Wanita Pertama Malaysia, Datin Seri Rosmah Mansor,” kata heroin filem Dilwale dan Kuch Kuch Hota Hai yang memuat naik foto pertemuannya dengan Rosmah di laman sosial Instagramnya.

Azalina juga memuatkan foto beliau sedang berbual dengan Kajol di Instagram peribadinya berserta kapsyen yang menyatakan rasa bertuahnya kerana berkesempatan berjumpa dan merakamkan kenangan dengan idola ramai.

Menurut Pengarah Urusan Malik Streams Corporation, Datuk Abdul Malik Dasthigeer, beliau yakin VIP2 akan mendapat sam­butan hebat daripada rakyat Malaysia berikutan filem itu menampilkan bintang-bintang ternama Bollywood, khususnya Kajol.