Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Malik Dasthigeer berkata, persetujuan itu dizahirkan oleh Kajol dalam kunjungannya ke sini bagi menjayakan promosi filem terbaharu lakonan aktres itu, Velaiilla Pattadhari 2 (VIP2).

“Secara dasarnya, Kajol bersetuju untuk berlakon dalam filem terbitan syarikat Malik Streams. Apa pun perbincangan lanjut akan diteruskan termasuklah siapa pasangannya. Kemungkinan besar, saya mahu gan­dingkan Kajol dengan Datuk Shah Rukh Khan kerana saya tahu dua nama itu mempunyai ramai peminat di sini.

“Untuk projek tersebut, saya perlu dapatkan skrip yang bagus kerana selain menampilkan gandingan pelakon yang hebat, saya juga mahu menonjolkan nama Malaysia di mata dunia menerusi filem. Memang menjadi hasrat saya untuk membawa lebih banyak filem Hindi dan Tamil ke sini bagi tujuan penggambaran dan menaikkan nama negara di persada dunia,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Kata Malik, sebelum ini syarikat produksinya itu pernah membawa masuk filem Dilwale lakonan Kajol dan Shah Rukh Khan yang ternyata mendapat sambutan hangat dalam kalangan penonton tempatan.

Malik Streams Corporation Sdn. Bhd., juga sebelum ini mendapat hak tayangan filem-filem lain seperti Kabali, Lingga dan Singam 3 di Malaysia.

Sementara itu, Malik ber­kata, beliau juga berusaha untuk mengedarkan filem VIP2 arahan Soundarya untuk pasaran negara ini kerana yakin dengan aura Kajol dan Dhanush yang merupakan aktor ternama di India.

Dhanush merupakan menantu kepada legenda perfileman India, Ranjinikanth.

“Untuk mendapat hak tersebut, saya telah membelanjakan kira-kira RM2.2 juta dan saya yakin filem yang disiarkan dalam tiga bahasa iaitu Hindi, Tamil dan Telegu itu mampu menghibur penonton kelak.

“Kami belum mendapat tarikh yang tepat untuk tayangan, tapi kalau tiada halangan mungkin 10 Ogos ini akan ditayangkan di 98 panggung di seluruh negara. Memandangkan filem itu boleh ditonton dalam tiga bahasa, penonton boleh pilih untuk masuk panggung satu, dua atau tiga,” katanya.

Kajol yang berada di Malaysia ditemani pasangan lakonannya dalam filem VIP2, Dhanush berlepas pulang malam ini.

Dalam kunjungan singkatnya, Kajol turut menghadiri majlis minum petang bersama isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said di Putrajaya semalam.

Aktres itu turut meluangkan masa bertemu peminatnya Jalan Masjid India.

Ini merupakan kali kedua Kajol berkunjung ke Malaysia selepas menjadi tetamu untuk pelancaran saluran Bolly One HD pada September 2014.