Profesor di Pusat Pengajian Biosains dan Bioteknologi, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Shahrul Hisham Zainal Ariffin berkata, potensi bidang ini sangat besar kerana ia mampu memberikan alternatif rawatan yang kurang kesan sampingan kepada pesakit tulang dan gigi.

“Hasil kajian kami mendapati sel stem berupaya untuk membahagi dan membentuk pelbagai jenis sel matang seperti tulang rawan dan osteoblas (tisu tulang) yang diperlukan dalam rawatan penyakit seperti osteoartritis (kekurangan tisu rawan) dan osteoporosis (patah tulang), selain dapat memajukan rawatan pergigian pada masa hadapan.

“Keistimewaan rawatan menggunakan sel stem ini adalah ia akan memberikan kesan sampingan yang minimum kepada pesakit, berbanding menggunakan ubat tahan sakit atau pembedahan seperti kebiasaan,” katanya ketika ditemui dalam majlis Syarahan Perdana sempena Pengukuhan Jawatan Profesor di Bilik Senat, Bangunan Canselori UKM, Bangi dekat sini hari ini.

Syarahan yang bertajuk Penerokaan Sel Stem untuk Kelestarian Kehidupan itu turut dihadiri oleh Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Prof. Datuk Ir. Dr. Riza Atiq Abdullah dan Dekan Fakulti Sains dan Teknologi, Prof. Dr. Mohammad Kassim. - UTUSAN ONLINE