Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad memberitahu kajian itu akan dilakukan dalam kadar segera sebaik sahaja pihak Kementerian Kesihatan memperoleh segala maklumat penting berkaitan pencemaran terhadap mangsa yang terlibat.

Katanya, inisiatif itu dilakukan disebabkan terdapat mangsa yang khuatir pendedahan kepada pencemaran toksik tersebut boleh mengundang kepada penyakit serius seperti kanser dan sebagainya.

"Saya sebagai Menteri Kesihatan bersedia untuk melakukan satu kajian kohort terhadap kumpulan mangsa terlibat bagi memantau tahap kesihatan mereka dalam jangka masa panjang.

"Selepas kita dapat segala data berkaitan, kita akan teliti protokolnya, metodologi dan kenal pasti siapa penyelidik perubatan berkelayakan baru kita akan laksanakan inisiatif ini. Perkara itu lebih mudah kerana maklumat setiap mangsa sudah ada dalam pangkalan data kementerian," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sidang Kemuncak Transformasi Penjagaan Kesihatan ASEAN 2019 di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE