Menurut Pengarah Pusat Penyelidikan Biokimia Analisis, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. Zafarina Zainuddin, kajian juga me­nunjukkan Orang Asli dari suku Semang di Semenanjung Malaysia berasal daripada kumpulan manusia moden terawal yang bergerak keluar dari benua Afrika.

Ujar beliau, kajian ke atas 10 sub-etnik Melayu iaitu Kelantan, Bugis, Banjar, Jawa, Acheh, Minang, Mendeleng, Rawa, Champa dan Pattani menunjukkan sejumlah orang Melayu mempunyai DNA mitokondria yang berusia hampir 60,000 tahun dan berkongsi haplogroup (kumpulan DNA mitokondria) yang sama dengan Orang Asli.

“Penemuan ini telah mengukuhkan lagi kepercayaan tentang asal usul dan hubung kait antara populasi awal di Kepulauan Melayu. Kesemua sub-etnik Melayu ini ternyata berasal dari susur galur yang sama dan berkongsi keturunan yang sama.

“Namun, hari ini, mereka telah dipisahkan oleh sempadan geografi dan politik dan hasilnya mereka terlihat sebagai populasi yang berbeza,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Zafarina merupakan salah seorang penyelidik yang menjalankan kajian bagi merungkai asal usul keturunan Melayu menerusi projek Asal Usul Bangsa Melayu Melalui Kaedah Morfologi, Sosiobudaya dan Genetik membabitkan lebih 20 penyelidik yang dijalankan sejak 2007.

Menurut Zafarina, walaupun terpisah secara geografi dan politik, namun hubungan sub-etnik Melayu itu tidak boleh dinafikan.

Ini kerana, kata beliau, perkara tersebut telah dibuktikan secara genetik sama seperti hakikat kewujudan mereka di Kepulauan Melayu sejak 60,000 tahun dahulu.

“Mungkin bagi sesetengah pihak, pengetahuan tentang sejarah dan asal usul sesuatu bangsa tidak penting tetapi harus diingat, pandangan kita tentang sejarah sebenarnya membentuk panda­ngan kita tentang masa hadapan.

“Gagal menghayati sejarah bermakna kita gagal menghargai dan menghormati usaha keras nenek moyang kita, sedangkan hasilnya kita nikmati hari ini,” katanya.