Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan mengkaji perkara itu mengikut undang-undang sedia ada.

Katanya, kajian itu juga termasuk keperluan menghantar pendakwah itu yang mendapat status Penduduk Tetap (PR) di Malaysia untuk kembali ke India.

“Yang itu akan dikaji ikut undang-undang masih ada,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden PH di Yayasan Al-Bukhary di sini hari ini.

Yang turut hadir pada sidang akhbar itu ialah Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Penasihat Majlis Presiden PH, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Naib Presiden PH, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Kerajaan India semalam secara rasmi mendakwa Zakir yang juga warganegara India, dengan tuduhan pengubahan wang haram.

BBC melaporkan, Zakir yang menetap di Malaysia sejak 2017 dituduh memperoleh aset berkaitan jenayah bernilai AS$28 juta (RM115.9 juta), namun beliau menafikan dakwaan berkenaan.

Sebelum ini, pihak berkuasa India turut mendakwa Zakir menyebarkan ucapan kebencian dan menghasut keganasan.

Pada April 2017, bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan Zakir mendapat status PR di Malaysia sejak 2012. - UTUSAN ONLINE