Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, pelbagai usaha telah dibuat termasuk menyalurkan peruntukan berjumlah ratusan juta ringgit untuk program menangani dadah namun seolah-olah tiada jalan penyelesaian yang jelas kerana masalah tersebut kelihatan tidak berkesudahan malah semakin ramai golongan belia yang menjadi mangsa dadah.

Justeru, katanya, kerajaan perlu menubuhkan satu jawatankuasa menteri bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada masalah dadah dan mencari pendekatan dan strategi baharu untuk menangani ancaman tersebut.

“Jawatankuasa itu harus melibatkan pelbagai kementerian, jabatan dan agensi yang berkaitan serta diketuai oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad agar hasil perbincangan diambil berat oleh setiap pihak.

“Masanya telah tiba untuk kerajaan baharu mengkaji semula strategi dan pendekatan yang telah diambil serta melihat keberkesanannya untuk memerangi masalah dadah ini jadi diharapkan jawatankuasa tersebut dapat mencari kaedah dan pendekatan yang lebih berkesan untuk menangani masalah dadah dari semua sudut terutamanya pencegahan, penguatkuasaan, pemulihan dan kerjasama antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang mendedahkan bahawa program mencegah penyalahgunaan dadah di negara ini masih belum memenuhi objektifnya walaupun banyak peruntukan telah disalurkan untuk tujuan tersebut.

Kata Wan Azizah, penagih dadah masih merupakan majoriti banduan di negara ini dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) melaporkan sebanyak 25,922 kes penyalahgunaan dadah dicatatkan pada tahun lalu dengan 18,440 daripadanya adalah kes baharu dan 7,482 pula adalah kes berulang. - UTUSAN ONLINE