Presiden Tribunal Timbang Tara Malaysia (MATE), Tan Sri Dr. Muslim Yacob berkata, negara-negara maju seperti United Kingdom (UK) menetapkan tempoh masa muflis selama lima tahun kepada pesalah berbanding seumur hidup di Malaysia.

Ujarnya, kadar muflis di negara ini khususnya dalam kala­ngan orang Melayu adalah sa­ngat tinggi, malahan antara yang tertinggi di Asia Tenggara.

“Apa yang saya tahu mereka ini muflis pasal beli rumah, cagar tanah kepada bank dan beli kereta. Budak baru keluar universiti beli kereta pun boleh muflis, pasal tak bayar hutang tiga bulan.

“Sekali dia muflis ia akan berterusan, tiada had tempoh. Sepatutnya ada had lima tahun ke, enam tahun ke, orang ma­suk penjara 20 tahun dibebaskan tetapi muflis tiada pengampunan,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis Perasmian Biro Pengaduan Awam Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM) di sini hari ini.

Sementara itu, Presiden 4PM, Rosland Mohd. Arif berkata, pengguna yang mengalami ma­salah perbankan, kredit, sivil serta zakat kini boleh mengadu perkara tersebut pihaknya untuk diselesaikan.

Kata, 4PM menyediakan per­khidmatan kepada semua golo­ngan masyarakat tanpa mengira usia termasuk warga asing de­ngan syarat mereka berurusan dengan bank di negara ini.

“Kami selesaikan pelbagai masalah, kalau mereka nak mengadu tentang bank lelong rumah tanpa notis, tarik kereta tanpa notis inilah tempat dia,” katanya.