Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Dr. Hasan Mad berkata, instrumen baru dan terbukti berjaya menyediakan atau mengumpul dana awam untuk sesuatu perniagaan atau projek ekonomi itu bagaimanapun masih belum teruji kesesuaiannya untuk bidang hartanah dan mungkin mendedahkan peminjam kepada risiko yang tidak dijangkakan termasuk dana yang diragui.

“Kami mengkaji dengan mendalam cadangan Kementerian Kewangan ini dan ingin bersangka baik mengenainya kerana instrumen crowd funding ini sesuatu yang baru, inovatif dan terbukti berjaya menyediakan atau mengumpul dana awam bagi membiayai sesuatu bisnes atau projek ekonomi yang viable. Mungkin juga ia sesuai bagi membiayai pemilikan rumah, terutama dalam kalangan mereka berpendapatan rendah, iaitu golongan ditakrifkan sebagai Golongan B40. 

“Sasaran utama ialah Golongan B40. Kerajaan memikirkan beberapa kaedah untuk mereka ini memperoleh dana atau kewangan membiayai pembelian rumah untuk mereka. Pun begitu, menerusi kaedah ini yang juga ditakrifkan sebagai peer-to-peer lending, mereka tidak sewajarnya didedahkan atau terdedah kepada risiko yang boleh dijangkakan. Ini kerana kaedah property crowd funding ini sesuatu yang belum cukup teruji kesesuaiannya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas pembentangan Belanjawan 2019 pada minggu lepas melibatkan perkara Perumahan Untuk Semua.

Hasan berkata, kebanyakan pihak masih tidak arif dengan penggunaan instrumen itu dan sering kali pemberi dana (crowd funder) pula adalah golongan yang tidak dikenali oleh peminjam 

“Bagi keadaan di Malaysia, terlalu banyak sumber kewangan haram atau yang diragui kesahihan sumbernya. Pasti akan ada ramai kalangan pemilik wang haram atau wang yang diragui kesahihan sumbernya, yang akan mengeksploitasi kaedah ini bagi menghalalkan wang mereka,” katanya.

Justeru, katanya,  MPM mencadangkan supaya kementerian terbabit menangguhkan dahulu pelaksanaan kaedah tersebut bagi membolehkan diuji kesesuaiannya supaya majoriti peminjam terdiri daripada golongan B40 tidak terdedah kepada sebarang risiko. - UTUSAN ONLINE