Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, secara tradisinya prestasi ekonomi negara diukur berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan indeks pembangunan manusia untuk menilai pelbagai kebajikan sosial termasuk kesihatan dan pendidikan.

“Kita juga harus menyedari bahawa ada pelbagai penunjuk lain untuk memantau trend pemba­ngunan dan kemakmuran,” titah­ baginda ketika merasmikan Dialog Pangkor 2017 di sini hari ini.

Sultan Nazrin turut menarik perhatian bahawa banyak pekerjaan yang ada pada masa kini mungkin tidak lagi wujud pada masa depan disebabkan oleh pembangunan teknologi baharu pada masa kini.

“Satu kajian menunjukkan se­­kurang-kurangnya 50 peratus da­­ripada 700 kategori pekerjaan yang ada sekarang, mungkin akan dilakukan sepenuhnya secara automatik pada tahun-tahun akan datang,” titah baginda.

Justeru, baginda menekankan bahawa modul pembiayaan baharu diperlukan untuk mengge­rakkan sumber yang mencukupi bagi menutup jurang pembiayaan pembangunan dan kemanusiaan.

Dialog dua hari itu yang bertemakan ‘Memacu Masa Hadapan: Landasan Inovatif Ke Arah Pembangunan Mampan’ anjuran Institut Darul Ridzuan (IDR) adalah platform untuk membincangkan isu-isu berkaitan pembangunan sosioekonomi dan kelestarian.

Dialog yang ma­suk tahun keempat penganjuran pada tahun ini disertai oleh dele­gasi dari 33 buah negara dengan membariskan 80 pembentang ker­tas kerja.

Sempena dialog kali ini Festival of Ideas diadakan melibatkan semua lapisan masyarakat bagi mengumpul 10,000 idea untuk membantu menjana pembangunan negeri me­lalui penganjuran lebih 70 program di sekitar bandar raya ini. – BERNAMA