Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, pihaknya melihat jabatan baharu itu mempunyai peranan seperti SPRM, Institut Integriti Malaysia, Suruhanja­ya Integriti­ Agensi Penguatkuasaan dan Su­ru­­han­jaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Menurut beliau, kerajaan sepatutnya melakukan penambahbaikan dan memperkukuhkan agensi-agensi sedia dari aspek perundangan, keanggotaan dan kebajikan.

“Saya tidak nampak keperluan untuk diwujudkan JITN kerana apabila menubuhkan jabatan baharu akan melibatkan penambahan staf dan bajet.

“Apa yang sepatutnya dilakukan ialah menambah baik dan memperkukuh agensi-agensi sedia ada dari sudut perundangan dan keanggotaan, terutamanya aspek kebajikan anggota penguat kuasa,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Ikrar Bebas Rasuah Agensi Awam dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Kedah di sini hari ini.

Beliau mengulas kelulusan Ka­binet pada bulan lalu yang menaik taraf Bahagian Integriti dan Tadbir Urus di bawah Jabatan Perdana Menteri sebagai jabatan penuh yang dikenali sebagai JITN.

Akhbar hari ini melaporkan JITN akan berperanan sebagai badan penyelaras untuk mene­rajui perubahan transformasi da­lam sektor awam serta swasta menumpukan pada tadbir urus baik, integriti dan hak asasi manusia.

Terdahulu, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Datuk Zahari Ismail mengetuai kira-kira 2,000 penjawat awam dan anggota PBT di negeri ini melafazkan ikrar bebas rasuah dengan disaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah dan Dzulkifli.

Dalam perkembangan sama, Dzulkifli memberitahu, masalah rasuah serta salah guna kuasa dalam kalangan penjawat awam, khususnya anggota penguat kuasa tidak akan dapat diselesaikan selagi kebajikan mereka tidak dijaga.

“Ini yang saya perjuangkan, kita boleh ambil tindakan pada mereka tetapi pada masa sama, kebajikan mereka perlu diambil serius oleh pihak kerajaan.

“Bukan dengan hanya menu­buhkan jabatan baharu yang menyebabkan penambahan kos dan anggota, sedangkan kerja yang akan dibuat sama sahaja dan menyebabkan penindihan tugas,” ujarnya.

Kata Dzulkifli, kerajaan sepatutnya memberi tumpuan memperkasa SPRM yang kini mempunyai 3,100 anggota di seluruh negara untuk menjaga 1.6 juta penjawat awam.

“Kalau boleh, peruntukan itu (penubuhan JITN) digunakan untuk tambah keanggotaan SPRM dalam memastikan isu besar negara (rasuah) diselesaikan,” katanya.