Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, sudah tiba masanya sektor koperasi mendapat pakej insentif yang setara dengan sektor-sektor lain atas kemampuannya memberikan sumbangan besar dari segi perolehan kepada negara.

‘‘Kita mempunyai keahlian yang besar iaitu melebihi lapan juta ahli di seluruh negara selain memungut jumlah perolehan tahunan lebih RM30 bilion dan terus meningkat saban tahun.

‘‘Sehubungan itu, Angkasa ma­hu sektor koperasi ini diberikan perhatian sewajarnya terutama dari segi insentif agar ia dapat disamaratakan dengan apa yang diperoleh sektor lain seterusnya merancakkan lagi aktiviti ekonomi dalam kalangan ahli-ahlinya,’’ kata beliau.

Abdul Fattah berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Angka­sa Melaka dan Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara MyAngkasa Bina Sdn. Bhd. dengan Koperasi Pembangunan Daerah Alor Gajah Berhad di sini, hari ini.

Hadir sama, timbalan beliau, Mutadho Bahri; Ketua Pengarah Maktab Koperasi Malaysia (MKM), Prof. Madya Dr. Abdul Rahman Shaik dan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Melaka, Abd. Latib Talib.

Mengulas lanjut, Abdul Fattah memberitahu, kerajaan perlu meningkatkan nilai geran kepada sektor koperasi daripada RM300,000 kepada nilai yang sama diterima sektor perusahaan kecil dan sederhana iaitu seba­nyak RM500,000.

Selain itu, kata beliau, kerajaan juga perlu membantu dalam memperluaskan akses pasaran sektor koperasi sama seperti sektor PKS yang mendapat kemudahan memasarkan produk mereka dalam pelbagai agensi dan jabatan kerajaan di seluruh negara.

‘‘Kita juga mahu beberapa insentif lain ditambah baik demi kebaikan ahli dan gerakan koperasi itu sendiri yang mungkin kurang berbanding sektor-sektor lain,’’ tambahnya.

Sementara itu, dalam majlis sama, Angkasa melalui anak syarikatnya, MyAngkasa Bina Sdn. Bhd. menjalinkan kerjasama dengan Koperasi Pembangunan Daerah Alor Gajah Berhad bagi membangunkan sektor hartanah di negeri ini.

‘‘Kerjasama antara kedua-dua pihak ini bertujuan membangunkan projek berimpak tinggi iaitu pembangunan 46 unit rumah di Alor Gajah yang bakal memberi faedah besar kepada ahli-ahli,’’ ujar beliau.