Baginda bertitah, kajian terhadap sejarah Baitulmuqaddis akan memberikan pendedahan kepada umat Islam terhadap fakta yang tepat mengenai kota suci umat Islam ini.

“Selain melihat kepada sejarahnya yang panjang, kajian terhadap masa depan Baitulmuqaddis juga amat penting dalam berhadapan dengan situasi mutakhir,” titah baginda.

Baginda yang juga merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertitah demikian ketika berkenan berangkat menerima kunjungan mengadap hormat oleh bekas Mufti Palestin dan Imam Masjid Al-Aqsa, Syeikh Dr. Ekremah Sai’d Sabri di Balai Menghadap Kuning, Istana Arau di sini, hari ini.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Ekremah Sai’d Sabri berada di negeri ini bagi menyampaikan pidato beliau pada Program Prihatin Al-Quds 2018 anjuran MAIPs di Masjid Tuanku Syed Putra di Kangar selepas solat maghrib ini.

Turut hadir, Mufti negeri, Prof. Madya Datuk Dr Arif Mohd. Asri Zainul Abidin, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis, Dr. Hazman Hassan.

Pada kesempatan yang sama baginda turut menitahkan ucapan setinggi penghargaan kepada seluruh rakyat yang telah menghulurkan sumbangan kepada Tabung Untuk Aqsa Negeri Perlis yang telah dilancarkan oleh baginda beberapa hari lalu.

Dalam pada itu, anggota masyarakat yang belum berkesempatan tetapi berhasrat untuk memberikan sumbangan untuk tabung berkenaan bagi kempen pada kali ini dialu-alukan berbuat demikian melalui MAIPs sehingga 16 Februari ini.

Untuk maklumat lanjut, mereka boleh melayari laman web www.maips.gov.my. - UTUSAN ONLINE