Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, perlunya kajian menyeluruh dilakukan berhubung kesan permainan yang kini semakin mendapat perhatian umum untuk diketahui dengan lebih mendalam oleh masyarakat.

TAN SRI LEE LAM THYE
TAN SRI LEE LAM THYE

Ketika menyatakan pandangan peribadinya berhubung permainan realiti digital itu, Lam Thye berkata, permainan berkenaan boleh dilihat dari dua sudut iaitu pro dan kontra.

"Jika dilihat dari sudut kebaikannya (pro) permainan ini dilihat sebagai satu permainan yang mengeratkan hubungan keluarga yang mana sebuah keluarga melakukan aktiviti bersama keluar dan beriadah mencari Pokemon Go.

“Namun permainan ini juga harus dikaji sedalam-dalamnya kerana ia turut mengundang beberapa keburukan yang dapat memberi kesan kepada individu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pemantapan Integrasi dan Profesionalisme di Politeknik Seberang Perai di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Lam Thyeberkata, dari aspek negatif permainan Pokemon Go, ia boleh menyebabkan seseorang itu ketagih terhadap permainan tersebut sekali gus menjadikannya leka dan permainan ini juga berpotensi membuatkan seseorang itu terdedah dengan bahaya antaranya diragut.

"Apabila mereka leka bermain permainan ini dan terlalu fokus mencari Pokemon Go, mereka tidak sedar apa disekelilingnya, bayangkan mereka mudah disamun oleh peragut. Ia amat bahaya. Begitu juga ketika memandu ada juga yang bermain Pokemon Go, ia amat membahayakan boleh mengakibatkan kemalangan," katanya.

Justeru Lee menyeru pihak berkuasa mengkaji implikasi permainan itu dari sudut kesan keselamatannnya terhadap masyarakat.

Beliau berkata, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia akan mengadakan perbincangan berhubung permainan Pokemon Go dalam masa terdekat dan pihaknya akan menyatakan pendirian yayasan itu berkenaan permainan itu.- BERNAMA