Menurut Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, kenaikan yang membabitkan kos harga makanan, perumahan dan pengangkutan itu sangat membelenggu rakyat terutamanya golongan miskin bandar.

Jelasnya, kajian yang dilakukan itu selaras dengan usaha kerajaan untuk menangani isu kemiskinan bandar secara komprehensif dan berkesan.

“Kesan langsung daripada kenaikan ini telah mencetuskan isu yang agak kritikal iaitu miskin bandar di mana kos sara hidup yang tinggi menyebabkan golo­ngan miskin bandar menjadi le­bih tertekan berbanding kelompok miskin luar bandar.

“Ini juga selaras dengan corak perbelanjaan isi rumah yang tipikal iaitu perbelanjaan makanan, pengangkutan dan perumahan kerana gabungan ketiga-tiga elemen ini membabitkan dua pertiga daripada pendapatan isi rumah," katanya.

Beliau berkata demikian da­lam satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Peringkat Tertinggi Menangani Kemiskinan Bandar, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di Bangunan Perdana Putra di sini, hari ini.

Mesyuarat tersebut merupakan manifestasi terhadap usaha-usaha kerajaan yang komited dan sepakat dalam menggalas tanggungjawab membantu rakyat menangani kos sara hidup yang tinggi di bandar secara holistik.

Katanya, beberapa cadangan yang dipersetujui ialah mewujudkan satu jawatankuasa bersama antara kementerian untuk mengkaji kos pengeluaran dan kos di sepanjang rantaian pengedaran bagi mengelak manipulasi harga oleh orang tengah.

Turut dipersetujui ialah mengkaji cadangan pelaksanaan program bantuan makanan kepada golongan miskin bandar di antara kementerian melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) serta syarikat hypermarket dalam menyediakan makanan sejuk beku.

Ahmad Zahid berkata, pendekatan sama akan dikembangkan ke universiti awam dan universiti swasta melalui program makanan bermasak yang dijual pada harga berpatutan kepada pelajar khususnya di bandar-bandar besar serta melaksanakan program pembangunan usahawan .

Menurutnya, beberapa program akan diperkenalkan termasuk pembangunan keusahawanan, meningkatkan kebolehcapaian pengangkutan awam pada kadar munasabah, bantuan pengurusan kewangan, latihan kemahiran dan program mentoring.

"Pusat sehenti di kawasan komuniti miskin bandar akan diwujudkan sebagai pusat rujukan kepada pelbagai agensi bagi membantu golongan berkenaan serta mengumpul maklumat mengenai bilangan pemilikan dan penyewaan rumah.

"Mempertimbangkan cadangan pemberian insentif kepada pemaju dan membina rumah mampu milik menggunakan teknologi terkini seperti Sistem Bangunan Berindustri (IBS) bagi mengurangkan kos pembinaan rumah," katanya.

Beliau berkata, program-program yang dilaksanakan akan diuar-uarkan di pelbagai saluran media termasuk media sosial oleh Unit Komunikasi Korporat di setiap kementerian untuk memberi penerangan kepada rakyat tentang usaha-usaha kerajaan.