Presiden Pertubuhan Usahawan Getah Bumiputera Malaysia (PUGBM), Kameruzaman Ab Rahman berkata, meskipun IPG telah dilaksanakan hampir empat tahun sejak 2015, namun pekebun kecil yang membuat tuntutan hanyalah kira-kira 15 hingga 20 peratus sahaja sebulan.

“Ini disebabkan mekanisme tuntutan yang menyusahkan pekebun kecil. Kenapa kerajaan tidak mewujudkan mekanisme dengan menetapkan setiap peniaga getah berlesen dengan Lembaga Getah Malaysia (LGM) membeli ‘cuplump’, daripada pekebun pada harga RM2.50 sekilo.

“Kemudian peniaga pula membuat tuntutan kepada LGM. Bayaran terus RM2.50 perkilogram dilaksanakan apabila purata harga dibawah paras pengaktifan IPG,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Kameruzaman lagi, bagi memastikan pelaksanaan berjalan secara telus dan lancar, Kementerian Industri Utama boleh menggunakan penguat kuasa yang terdapat di LGM untuk membuat penguatkuasaan ke atas peniaga dan semakan ke atas tuntutan IPG peniaga tersebut.

“Kaedah ini akan memudahkan proses tuntutan dan bayaran IPG yang akan memberikan manfaat besar kepada pekebun kecil getah,” katanya.

Dalam pada itu, jelasnya, bayaran IPG merupakan langkah penyelesaian jangka pendek dalam membantu pekebun-pekebun kecil.

“Pihak kementerian sewajarnya memberikan penekanan kepada tindakan jangka panjang bagi menyelesaikan isu berkaitan harga getah.

“Sekiranya produktiviti pokok getah dapat dipertingkatkan sehingga 2,500 kilogram sehektar setahun, saya rasa IPG tidak lagi diperlukan,” katanya. - UTUSAN ONLINE