Zaininah Mohd. Zain

Pengarah Hospital Kuala Lumpur (HKL), Datuk Dr. Zaininah Mohd. Zain berkata, rekod perubatan adalah hak pesakit dan mesti dihormati meskipun pihaknya mempunyai kuasa mutlak ke atas dokumen itu.

Sehubungan itu, jelas beliau, pihaknya berharap agar semua pihak bersabar dan tidak membuat spekulasi mengenai keadaan mangsa.

“Ini mengikut tata etika yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan tentang privasi serta perkongsian maklumat pesakit kepada orang ramai, malah semua maklumat dan identiti pesakit serta kemudahan kesihatan tidak boleh didedahkan melalui sebarang bentuk medium tanpa mendapat persetujuan pesakit.

“Memadai saya katakan, ketiga-tiga mangsa sedang dirawat dan kini beransur pulih. Kerahsiaan perawatan pesakit perlu di jaga,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Tujuh pelajar yang tercedera akibat kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah pada Khamis lalu dimasukkan ke HKL untuk rawatan lanjut.

Ahad lalu, tiga pelajar terbabit dibenarkan pulang manakala seorang lagi semalam.

Sehingga pukul 5 petang ini, waris memaklumkan, tiga-tiga mangsa, Indrakurniawan Mohd. Amirul, 11; Muhd. Shahir Sharifuddin, 11 dan Zunnun Misri Nasrun, 15, kini stabil tetapi masih menggunakan alat bantuan pernafasan.

Indrakurniawan dan Zunnun Misri menjalani pembedahan semalam manakala Muhd. Shahir menerima rawatan susulan.

Tambah Zaininah, walaupun stabil, ketiga-tiga mangsa masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu.

“Bukan ketiga-tiga mangsa yang masuk ke ICU) perlu pembedahan tetapi prosedur rawatan perlu dilakukan dalam dewan bedah.

“Kini mereka dipantau oleh doktor-doktor pakar khusus bahagian masing-masing sehingga benar-benar pulih,” katanya.