Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull berkata, antara perkara yang dipertimbangkan adalah menerusi pelantikan melalui Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) yang bagaimanapun memerlukan pindaan kepada Akta SPRM di Parlimen.

“Pelantikan ini menjadikan Ketua Pesuruhjaya bertindak tanpa fear of favour atau tanpa gentar dan tidak boleh dibuang begitu sahaja seperti jawatan hakim iaitu sebarang tindakan memerlukan kebenaran tribunal.

“Ini memerlukan pindaan Perlembagaan, tetapi sekiranya sukar mendapatkan pindaan itu, kita ada cara lain dengan melibatkan Akta SPRM iaitu pelantikan Ketua Pesuruhjaya di bawah PSC,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersama Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed sempena taklimat Laporan Pencapaian Akhir Tahun Usaha-Usaha Me­merangi Rasuah di Malaysia dari Jun-Disember 2018 di bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Mohd. Shukri berkata, ketika ini lantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM dibuat Perdana Menteri yang mencadangkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenankan.

Beliau berkata, pelantikan menerusi PSC yang disertai wakil rakyat kerajaan dan pembangkang akan menjadikan individu dipilih itu dilihat lebih telus dan tidak berat sebelah.

Dalam pada itu, beliau berkata, transformasi yang sedang dilakukan SPRM akan menyaksikan suruhanjaya itu bakal mempunyai suruhanjaya perkhid­matannya sendiri bagi melantik pegawai berdasarkan keperluan bidang kerja.

“Langkah itu membolehkan SPRM meningkatkan keupayaan dan profesionalisme dalam kalangan kakitangannya dan bertindak mengawal terma dan syarat pekerjaan termasuk soal tindakan tatatertib,” katanya.

Selain itu, katanya, SPRM dalam usaha membuat pindaan undang-undang termasuk berkaitan salah laku awam (public misconduct), cadangan undang-undang baharu berkaitan pemilikan sebenar (benificial of ownership) dan hukuman tambahan kepada pesalah rasuah.

“Sekarang hukuman disebut sehingga 20 tahun, tapi tiada penjara mandatori. Jadi kita cadangkan penjara sebulan mandatori kalau didapati bersalah selain hukuman sebat sebagai pengajaran,” katanya.