Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, berdasarkan statistik semasa perayaan Tahun Baharu Cina, 45 peratus kemalangan berlaku di jalan-jalan bandaran yang menjadi penghubung antara kawasan kediaman dengan pusat bandar.

Beliau berkata, kemalangan maut kebanyakannya berlaku di jalan Persekutuan dan orang ramai dinasihatkan sentiasa berhati-hati ketika melalui jalan-jalan berkenaan bagi mengelak kejadian tidak diingini.

“Punca utama kemalangan yang dikenal pasti adalah kenderaan terbabas dan pemandu tidak mengikut lorong pemanduan dengan betul seperti 'makan' jalan.

“Daripada 226 kematian direkod semasa Ops Selamat Tahun Baharu Cina, 141 kematian atau 66 peratus adalah penunggang dan pembonceng motosikal manakala pemandu serta penumpang kereta sebanyak 46 kematian (20 peratus)," katanya dalam satu kenyataan, di sini malam tadi.

Mengulas mengenai kes-kes kemalangan berkemungkinan berlaku akibat mengantuk atau tertidur, Lam Thye berkata, semua pemandu seharusnya mendapatkan tidur mencukupi sebelum memulakan pemanduan ke mana-mana destinasi.

Menurutnya, mereka tidak sewajarnya memandu secara berterusan melebihi empat jam sebaliknya perlu berhenti rehat untuk seketika.

"Berhenti rehat 20 hingga 30 minit bagi setiap dua hingga jam perjalanan supaya tidak mengalami keletihan, memandangkan kajian oleh MIROS mendapati berlaku keletihan selepas empat jam pemanduan secara terus menerus dan meningkat ke tahap berbahaya selepas lapan jam memandu," ujarnya.

Di samping itu katanya, persediaan sebelum memulakan perjalanan penting bagi mengurangkan risiko kemalangan seperti memastikan kenderaan dalam keadaan baik, pemandu atau penunggang perlu fokus dan mengamalkan pemanduan berhemah.

“Selain itu, pemakaian tali pinggan keledar juga sangat penting dan dapat mengurangkan risiko kematian sebanyak 40 hingga 65 peratus untuk pemandu dan penumpang hadapan, manakala bagi penumpang belakang pula risikonya dapat dikurangkan antara 25 hingga 75 peratus,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE