Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, kerajaan juga memutuskan tidak memberi sebarang subsidi kepada mana-mana majikan berikutan keka­ngan kewangan semasa negara.

Menurut kenyataan tersebut, peningkatan gaji minimum itu selaras dengan situasi ekonomi semasa negara.

“Kita harus waspada sebarang peningkatan gaji yang drastik bakal menimbulkan masalah lain kepada industri yang juga boleh menggugat daya saing negara.

“Dengan itu, adalah lebih wajar jika gaji minimum dinaik­kan secara berkala dalam tahun-tahun akan datang supaya industri, terutamanya majikan kecil, tidak menutup perniagaan mereka akibat kos operasi tinggi yang bakal menyebabkan pemberhentian pekerja,” kata kenyataan itu di sini hari ini.

Sehubungan itu, majikan dan peniaga juga diseru supaya tidak menaikkan harga barangan dan perkhidmatan susulan kenaikan gaji minimum ini. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dimohon untuk memantau perkara tersebut.

Jelas kenyataan itu lagi, sebelum ini Perintah Gaji Minimum 2016 memperuntukkan kadar gaji minimum sebanyak RM1,000 sebulan bagi Semenanjung dan RM920 sebulan bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Seperti diperuntukkan oleh seksyen 25 Akta Majlis Perundi­ngan Gaji Negara 2011 (Akta732), Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) telah selesai membuat kajian semula terhadap Perintah Gaji Minimum 2016 dan syor-syor MPGN telah dibincangkan oleh mesyuarat Kabinet hari ini,” katanya.

Sementara itu, Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) menuntut kerajaan memberikan subsidi 50 peratus kepada majikan dalam soal pembayaran gaji minimum seperti yang dijanji­kan dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pengarah Eksekutifnya, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, bebanan tidak seharusnya diletakkan 100 peratus kepada majikan untuk membayar gaji minimum itu memandangkan keadaan ekonomi semasa tidak begitu memberangsangkan.

“Bagi kami, janji tetap perlu ditunaikan kerana sebelum ini PH berjanji untuk berkongsi 50 peratus dengan majikan jika ada sebarang kenaikan gaji minimum,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.