Kad tersebut boleh diakses melalui portal MyMaya yang telah diiktiraf oleh Angkasa dan Asean Cooperative Organization (ACO) sebagai portal rasmi untuk gerakan koperasi di negara ini.

Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, program ini adalah untuk membudayakan orang ramai untuk membayar setiap pembelian menggunakan aplikasi tanpa wang tunai atau ‘cashless’.

“Perkhidmatan tersebut memperkenalkan gaya hidup baharu kepada pelanggan dengan bertukar konsep membawa wang tunai kepada digital,”katanya dalam Majlis Pelancaran Program Keahlian Eksklusif Angkasa MyMaya dekat sini hari ini.

Kad tersebut menggabungkan program Keahlian Eksklusif Angkasa MyMaya iaitu perlindungan takaful Angkasa, Kad Visa Prabayar Angkasa MyMaya serta Program Kesetiaan dan Mata Ganjaran WOW Rewards.

Program keahlian tersebut akan memberi manfaat kepada 6.5 juta ahli koperasi dan lebih 300,000 pelanggan yang akan mengakses kad Visa Prabayar MyMaya akhir tahun ini.

Abdul Fattah berkata, MyMaya merupakan platform media sosial yang banyak memberi manfaat kepada ahli koperasi khususnya kepada gerakan koperasi di negara ini.

“Penggunaan kad tersebut membolehkan para pelanggan menerima ganjaran dalam bentuk token yang bernilai untuk ditebus dan hasil daripada pembelian pelbagai barangan.

“Kaedah ini juga memudahkan para pelanggan untuk menggunakan kad tersebut tanpa membawa wang kertas yang terlalu banyak pergi melancong keluar negara dan sebagainya dengan hanya diakses melalui aplikasi,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE