Menurut satu kenyataan daripada Kementerian Luar, identiti mangsa warganegara Malaysia yang berusia 64 tahun berkenaan telah disahkan oleh pihak berkuasa Afghanistan.

"Kementerian Luar ingin memaklumkan bahawa pihak berkuasa Afghanistan telah mengesahkan identiti warganegara Malaysia yang ditemui mati di Kabul pada hari Khamis, 2 Ogos 2018.

"Pihak majikan mangsa, Sodexo iaitu syarikat Perancis yang berpangkalan di Afghanistan telah memaklumkan perkara ini kepada anak beliau yang menetap di Filipina.

"Kementerian Luar menzahirkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga mangsa atas pemergian beliau," kata kenyataan itu di sini hari ini.

Difahamkan, identiti mangsa tidak didedahkan kepada umum bagi menghormati permintaan keluarganya.

Semalam, tiga lelaki warga asing termasuk seorang rakyat Malaysia yang bekerja dengan syarikat makanan antarabangsa, Sodexo di ibu negara Afghanistan diculik dan dibunuh kumpulan militan.

Rakyat Malaysia berusia 64 tahun itu bersama seorang warga India, 39, dan seorang lagi warga Macedonia, 37, yang bekerja sebagai tukang masak di syarikat makanan dan katering kedua terbesar di dunia itu diculik ketika dalam perjalanan ke tempat kerja. - UTUSAN ONLINE